SAUDARA PENGARANG,
KURANG dari tujuh tahun lagi yakni pada 2030, Malaysia akan tersenarai sebagai negara tua kerana lebih 15 peratus penduduknya berstatus warga emas berikutan berumur lebih 60 tahun.
Jika dipanjangkan umur dan dengan izin Allah, kita pun akan menjadi warga emas juga.
Menurut statistik Jangkaan Hayat Malaysia 2022 dikeluarkan Jabatan Perangkaan, secara purata lelaki dijangka hidup sehingga berusia 79.2 tahun, manakala perempuan sehingga 81.4 tahun.
Melalui beberapa penggubalan dasar, misalnya Dasar Warga Emas Negara, kerajaan membantu golongan warga emas dalam pelbagai aspek terutama dari segi ekonomi dan kesihatan.
Bagi aspek sosial pula, persekitaran dan teknologi perlu ditambah baik dan diperluaskan pelaksanaannya.
Misalnya, sikap hormat dan belas kasihan terhadap warga emas masih belum menyeluruh dalam kalangan rakyat.
Terdapat warga emas terpaksa berdiri dalam pengangkutan awam kerana sikap mementingkan diri sesetengah penumpang.
Reka bentuk tanjakan di sesetengah bangunan kerajaan, premis komersial dan pusat beli-belah tidak mengikut spesifikasi ditetapkan.
Ada tanjakan yang agak curam, licin dan sempit. Ini sangat berbahaya kepada warga emas dan orang kurang upaya (OKU) yang berkerusi roda.
Seeloknya, pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat turun padang menguji sendiri kemudahan disediakan untuk warga emas dari semasa ke semasa.
Dalam pada itu, kita masih terkejar-kejar perkembangan pesat teknologi. Jika orang muda pun masih bergelut untuk memahami dan menggunakan teknologi baharu, inikan pula warga emas yang ada dalam kalangan mereka mempunyai daya ingatan singkat.
Untuk itu, golongan muda, jiran tetangga, rakyat prihatin dan badan bertindak tertentu diharap dapat membantu warga emas yang kurang mahir menggunakan gajet tertentu.
Berikan penerangan, panduan dan tunjuk ajar yang mudah difahami mereka. Sebenarnya warga emas mendambakan kasih sayang dan perhatian.
Wang ringgit yang diberikan oleh kerajaan dan anak-anak boleh membantu kelangsungan hidup mereka dari segi ekonomi tetapi tidak dapat membantu dari segi emosi.
Bagi warga emas yang tinggal bersendirian di kampung, mereka berbangga dan gembira dengan kejayaan anak-anak mereka berjawatan tinggi, bergaji besar dan berumah besar di ‘Kolumpo.’
Namun, mereka berasa sedih dan mengalir air mata setiap kali melihat anak jiran sebelah yang hanya bekerja kebun di kampung, mencium pipi ibunya sebelum pergi dan selepas pulang dari kerja.
Sedangkan kasih sayang yang didambakan warga emas tersebut hanya dapat dinikmati melalui kemanjaan Oyen, yang hanya tahu mengiau bila lapar.
Bersempena Hari Warga Emas Sedunia pada 1 Oktober setiap tahun, saya berharap anak-anak yang masih mempunyai ibu bapa tinggal berjauhan agar dapat meluangkan masa menziarahi mereka.
Untuk itu juga, saya menyarankan syarikat pemegang konsesi lebuh raya mengecualikan bayaran tol ataupun memberi potongan bayaran tol pada hujung minggu pertama Oktober setiap tahun untuk menyatukan ahli keluarga dan menggembirakan warga emas buat seketika.
Syarikat pengangkutan awam darat, laut dan udara seperti bas, kereta api, feri dan kapal terbang disyorkan terlibat sama dalam memberikan potongan harga tiket secara serentak.
Kita tidak tahu apa yang kita ada sehinggalah mereka tiada lagi. Hargailah ibu bapa selagi mereka masih ada. – UTUSAN
MARISSA QT, Kuala Lumpur