SAUDARA PENGARANG,
SAYA memuji langkah berterusan diambil kerajaan berhubung Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di negara ini.
Pun begitu, saya ingin mencadangkan agar memperbanyakkan lagi subjek baharu yang ada kaitan dengan industri bagi menarik minat lebih ramai pelajar.
Pelajar juga harus dibenarkan melanjutkan pengajian mengikut bidang diminati dan bukannya yang ditawarkan oleh institusi pengajian tinggi (IPT) dan Unit Pusat Universiti (UPU).
Saya juga berpendapat, mereka harus dibenarkan dan diberi peluang untuk bekerja sambilan dalam bidang berkaitan agar sebaik sahaja tamat pengajian turut mempunyai pengalaman kerja yang sering menjadi syarat mengisi jawatan kosong dalam industri.
Dalam perkembangan lain, saya mahu menyentuh isu Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra) walaupun baru-baru ini saya antara yang disingkir daripada menganggotai Jawatankuasa Khas Mitra.
Sejak mesyuarat pertama lagi, saya mencadangkan Mitra harus memainkan peranan sebagai unit pelaksanaan dan koordinasi untuk masyarakat India dan bukan semata-mata menjadi agensi pengeluar peruntukan.
Pada saya, Mitra harus mengembangkan peranan dan skop tugasnya untuk mengenal pasti, memantau dan menjadi perunding agensi-agensi kerajaan untuk menyampaikan segala inisiatif dan peluang yang diperuntukkan dalam belanjawan dan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) kepada masyarakat India.
Mitra perlu memainkan peranan besar dan diperluaskan dalam memperkasakan masyarakat.
Jangan kita menghampakan masyarakat India yang mempunyai harapan menggunung terhadap kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pastikan kita, pemimpin politik dan kerajaan menjalankan tanggungjawab dengan penuh dedikasi, komited dan berintegriti supaya kerajaan ini menjadi contoh pemerintah terbaik dalam sejarah pembangunan negara pada tahun-tahun akan datang. – UTUSAN
SENATOR SIVARAJ CHANDRAN, Ahli Dewan Negara