SAUDARA PENGARANG,
SEJARAH membuktikan anak mudalah yang menjadi asas kepada arus perubahan sebuah peradaban.
Buktinya boleh dilihat dalam sejarah Islam apabila anak muda, Sultan Al-Fateh berjaya menakluki kota Konstantinopel. Kita juga boleh melihat dalam sejarah negara apabila anak muda merupakan teras kepada kebangkitan nasionalisme di negara ini.
Walaupun jarang diperkatakan, namun tiada siapa boleh menafikan fakta bahawa anak mudalah yang mempengaruhi kemerdekaan dan apa rakyat Malaysia capai pada hari ini.
Pernah tak kita dengar tentang kelompok anak muda di awal sebelum kemerdekaan melalui majalah bulanan mereka, Al-Imam? Ia merupakan sebuah gerakan politik yang pertama sekali meniupkan semangat nasionalisme. Dengan adanya gerakan anak muda inilah munculnya idea politik dipelopori oleh anak muda yang mempunyai kesedaran, sayangkan negara dan berpendidikan.
Disebabkan asas kebangkitan ini, anak muda yang marah perlu diangkat dan menjadi satu idealisme baharu melambangkan ciri-ciri seperti sentiasa berani bersuara dan mencari kebenaran, berani melawan segala bentuk kezaliman serta ketidakadilan. Anak Muda juga perlulah sentiasa berfikiran terbuka, kreatif dan kritikal.
Anak muda yang marah boleh menjadi ideologi perubahan terutama melibatkan aspek ekonomi dan taraf hidup mereka yang semakin terhimpit dalam era permodenan ini.
Zaman ini, anak muda sering dimomokkan dengan material dan keduniawian sematamata sedangkan mereka perlu ada kesedaran dan jati diri yang kuat kerana golongan ini merupakan pemimpin negara pada masa akan datang.
Jati diri anak muda ketika ini kian menipis akibat dijajah atau dipengaruhi anasiranasir negatif dibawa Barat. Kita sebagai anak muda perlu sedar dan bangkit untuk membina sebuah masyarakat dan negara yang kuat.
Ingatlah, anak muda perlu sentiasa berani ke hadapan kerana suara mereka adalah suara keramat yang akan menggoncang dunia untuk membawa arus perubahan.
Seperti kata-kata hikmah Bung Karno, “Berikanlah aku 1,000 orang tua nescaya akan ku cabut semur dari akarnya. Sekiranya berikan aku seorang pemuda, nescaya akan ku goncang dunia.”-UTUSAN
ABDULLAH HAKIM AHMAD
Kuala Lumpur