SAUDARA PENGARANG,
Memang menjadi lumrah, setiap kali selepas pilihan raya akan ada pelbagai analisis dan post-mortem oleh pelbagai pihak.
Sejujurnya, Tok Abah berpendapat bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim telah berjaya mengemudi gabungan Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) dalam mengekang Perikatan Nasional (PN) yang telah menggunakan segala talian hayat yang mereka ada dalam cubaan untuk menawan negeri dalam tangan PH-BN serta menggugat kestabilan Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.
Tidak dinafikan keputusan pilihan raya negeri (PRN) 2023 telah memberi beberapa kecederaan kepada negeri milik gabungan PH-BN, namun strategi Anwar iaitu pertahanan terbaik adalah menyerang pada kempen kali ini sebenarnya telah membuahkan hasilnya.
Anwar sedar bahawa gabungan PH-BN yang masih baru berusia lebih kurang lapan bulan ini belum matang dan masih memerlukan masa untuk diperkukuhkan.
Sejak bermulanya PRN 2023, Anwar sedar bahawa medan pertempuran yang sebenarnya adalah di negeri-negeri yang berada di bawah naungan PH-BN kerana bukan sekadar untuk menangkis serangan PN, tetapi Anwar dan pimpinan Kerajaan Perpaduan juga perlu bekerja keras memastikan akar umbi PH-BN dapat mengetepikan perbezaan mereka dan memberi sokongan kepada gabungan Kerajaan Perpaduan.
Fokus dan strategi Anwar yang menyerang negeri milik PN dengan kebijakan yang ditunjukkan sebagai seorang Perdana Menteri untuk semua rakyat Malaysia akhirnya memaksa pemimpin PN turut bertahan di negeri mereka dan gagal menawan negeri milik PH-BN khususnya Selangor.
Kunci kejayaan strategi Anwar ini sudah tentu dibantu banyak oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi. Ijtihad politik beliau untuk bersama dengan Kerajaan Perpaduan telah berjaya mengekang arus gelombang PN daripada menawan negeri-negeri PH-BN.
Walaupun UMNO menerima ‘kecederaan’ ketiga terbesar selepas parti Gerakan dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), ahli-ahli UMNO harus sedar bahawa ini adalah medan ujian untuk gabungan perpaduan PH-BN.
Jika di imbas kembali, gabungan Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada PRN Johor dan Melaka juga nampak seperti gagal pada waktu itu, tetapi itu tidak menunjukkan bahawa Tan Sri Muhyiddin Yassin atau Tan Sri Abdul Hadi Awang perlu melepaskan jawatan mereka kerana itu adalah medan ujian buat PN.
Oleh itu, desakan supaya Ahmad Zahid atau Anwar untuk meletakkan jawatan tidak seharusnya dibangkitkan khususnya daripada Muhyiddin sendiri. Malah, desakan dari dalam UMNO untuk Ahmad Zahid berundur daripada kepimpinan UMNO juga perlu dihentikan.
Tok Abah ingin merumuskan empat perkara penting untuk direnung bersama pasca PRN 2023. Pertama, prestasi PRN 2023 tidak seharusnya diukur pada jumlah kerusi dimenangi sahaja tetapi harus dilihat secara keseluruhan.
Sebagai contoh, untuk PRN 2023, UMNO telah diperuntukkan sejumlah kerusi besar berbanding parti politik lain dalam gabungan PH iaitu 108 kerusi daripada 245 kerusi DUN yang dipertandingkan.
Sudah tentu jumlah kerusi diperuntukkan ini tidak akan sama jika UMNO memilih untuk bergabung dengan PN malah tidak mustahil kerusi yang bakal ditandingi UMNO akan lebih kecil berbanding Bersatu.
Kedua, berdasarkan keputusan, Pas telah memenangi 105 kerusi DUN daripada 127 manakala Bersatu telah menang 40 kerusi daripada 81 kerusi DUN yang ditandingi. Berdasarkan keputusan ini, UMNO hanya akan mampu berunding untuk 63 kerusi DUN sahaja bagi enam negeri ini jika memilih untuk bekerjasama dengan PN pada masa akan datang.
Ketiga, walaupun gabungan PH-BN masih baharu, namun trend pengundian menunjukkan prestasi yang lebih baik berbanding gabungan PN semasa PRN Johor dan Melaka. Trend kebolehpindahan undi antara pendukung PH-BN berjaya di Negeri Sembilan yang menyaksikan penguasaan majoriti dua pertiga DUN. Jika model ini terus dikembangkan pada PRU16 akan datang, sudah tentu UMNO mampu bangkit semula sebagai parti politik Melayu utama.
Keempat, PRU15 telah memberi mesej jelas; sokongan orang Melayu sahaja tidak cukup untuk membentuk sebuah kerajaan di Persekutuan. Sehingga PRN 2023, PN masih belum mempunyai sekutu yang mampu menarik pengundi kaum Cina dan India untuk bersama mereka.
Selain kerjasama politik dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di Borneo, PH juga memerlukan satu parti politik Melayu yang ampuh untuk bersama membangunkan negara ini.
Berdasarkan senario ini, UMNO mempunyai kelebihan dan peluang baik untuk bangkit semula dengan terus bekerjasama dalam gabungan kerajaan perpaduan menjelang PRU16.
Kesimpulannya, Tok Abah ingin merakamkan ucapan terima kasih buat semua penyokong PH dan BN termasuk dari MIC dan MCA yang telah bersama dan menerima konsep Kerajaan Perpaduan dan mengekang PN daripada terus membantutkan usaha membangun negara bangsa yang bermaruah.
Bagi mereka yang masih berbelah bahagi khususnya ahli UMNO, melihat realiti yang berada di depan mata, apakah pilihan anda selepas ini?
Berpaut pada kaki yang akan memijak kamu ke bawah, atau menyambut tangan yang dihulurkan untuk mengangkat kamu kembali menjadi sebuah parti keramat yang bermaruah dulu, kini dan selamanya. – UTUSAN
TOK ABAH