SAUDARA PENGARANG,
MERUJUK kepada Kamus Dewan, definisi budiman merujuk kepada orang yang berakal dan bijaksana termasuk dari segi budi bahasa, pekerti dan bicara.
Usahawan budiman lazimnya mempunyai roh yang baik. Hal ini kerana roh bersifat sebagai penentu kepada segala tindakan dan keputusan yang akan dilakukan.
Lazimnya kebanyakan usahawan memulakan perniagaan dengan niat untuk membuat duit. Ia tidak salah, namun sekiranya dengan membuat keuntungan semata-mata untuk kemewahan diri sendiri tanpa memberikan manfaat kepada masyarakat adalah ditegah oleh agama.
Seorang usahawan juga perlu memiliki budi bahasa yang baik termasuk dengan pekerja, pelanggan, pembekal, ahli keluarganya dan masyarakat lain. Inilah karektor usahawan hendak kita lahirkan, iaitu usahawan yang bijak berbudi atau dengan kata lain, berani serta bijaksana.
Kedua-dua elemen ini penting kerana ramai usahawan yang berani tetapi tidak bijaksana, atau sebaliknya individu yang bijaksana (wisdom) tetapi tidak berani mengambil risiko menghasilkan produktiviti ke arah pembangunan ekonomi negara.
Selain itu, usahawan yang baik sentiasa beradab, amanah, adil dan saksama, bestari dari segi proses, iaitu mesti tahu bila dan bagaimana untuk melakukan sesuatu keputusan menggunakan akal dari kepala, hati dan perutnya. Keempat-empat elemen ini jika digabungkan akan mewujudkan suatu suasana tempat kerja yang tinggi produktivitinya.
Jadi, bagaimana untuk menggabungkan hati, akal dan sikap supaya dapat melahirkan seorang usahawan yang budiman adalah melalui pendidikan. Ia berikutan di sekolah kita hanya mendapat didikan kepada akal sahaja dengan mengabaikan didikan terhadap emosi menyebabkan sesetengah usahawan gagal mengawal perasaan apabila dibelenggu pelbagai permasalahan yang akhirnya bertindak membunuh diri dan sebagainya.
Justeru, sebijak manapun usahawan itu belum tentu dapat menghasilkan produktiviti yang baik andai masih gagal mendidik emosinya.
Secara khusus, usahawan memerlukan keseimbangan di luar (macrobalance) dan keseimbangan di dalam (microbalance) untuk mencapai kesejahteraan. Usahawan dikira sudah bersedia untuk memasuki dunia nyata bagi mengimbangi ekonomi, budaya dan masyarakat apabila individu tersebut memahami prinsip kesejahteraan sebenar termasuk tidak mengganggu gugat alam sekitar, merosakkan ekonomi ataupun mencemarkan budaya serta masyarakat.-UTUSAN
DR. ROSSIDI USOP
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)