SAUDARA PENGARANG,
SIJIL Pelajaran Malaysia (SPM) merupakan satu peperiksaan yang sangat penting di negara ini. Malah ia menjadi salah satu syarat penting dalam permohonan untuk menyambung pengajian, permohonan kerja dan lain-lain permohonan berkaitan. Ramai anak dan ibu bapa pastinya mengharapkan keputusan cemerlang dalam SPM.
Sebagai ibu bapa, tidak dinafikan kita sentiasa mengharapkan yang terbaik untuk anak-anak. Kecemerlangan dalam SPM menjadi harapan setiap ibu bapa. Maka, apabila keputusan yang diperoleh anak-anak tidak seperti diharapkan, adalah situasi normal untuk berasa sedih, marah dan kecewa. Hal ini kerana mereka berkorban dalam banyak perkara demi memastikan anak-anak mencapai pendidikan terbaik.
Tidak salah untuk berasa sedih, namun bangkitlah bersama-sama anak ini untuk meneruskan perjalanan kehidupan yang masih panjang. Kegagalan adalah satu bentuk pembelajaran terbaik dan amat bermakna dalam kehidupan sekiranya ia dilihat sebagai satu peluang baharu.
Sesuatu yang telah lepas tidak lagi dapat diulangi atau diubah, namun ia boleh diubah jika kita melihat dan memahami peristiwa tersebut. Dalam hal ini, ketidakcemerlangan dalam SPM adalah peluang baharu untuk anak-anak lebih memahami tentang diri mereka.
Anak-anak boleh mendapatkan bantuan profesional, misalnya melalui guru bimbingan dan kaunseling di sekolah untuk meneroka tentang diri sendiri. Belajar memahami diri, memahami minat, nilai, personaliti dan lain-lain berkaitan diri sendiri dapat membantu individu untuk membina matlamat hidup seterusnya menyusun strategi bagi mencapai matlamat tersebut.
Lihat kembali faktor kejayaan atau kegagalan, anda akan bertemu di mana silapnya. Lalu jadikan ia sebagai panduan untuk menyusun langkah seterusnya dengan tidak mengulangi kesilapan lalu. Terokai peluang- peluang yang ada bagi meneruskan laluan kehidupan sesuai dengan minat dan kelayakan anda. Bangkitlah dan cipta kisah kejayaan anda yang baharu.-UTUSAN
DR. NORFAEZAH MD KHALID
Fakulti Pendidikan
Universiti Malaya