SAUDARA PENGARANG,
DALAM laporan muka depan Utusan Malaysia pada 15 Ogos lalu, tertera tajuk Fokus sekuriti makanan dalam Bajet 2024.
Berita terbabit memetik cadangan wakil persatuan pengguna dan ahli ekonomi supaya kerajaan mengutamakan sekuriti makanan dalam pembentangan Belanjawan 2024, Oktober ini bagi memastikan tidak timbul lagi isu kenaikan kos sara hidup.
Langkah ini juga menjamin bekalan makanan yang stabil dan berterusan untuk kegunaan tempatan selain mengurangkan import makanan yang mencecah RM75.5 bilion, tahun lalu.
Sebenarnya cadangan menghasilkan produk makanan khususnya memperkasakan sektor pertanian bukan baharu kerana Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein memperkenalkan Rancangan Buku Hijau pada 1974.
Ia menumpukan perhatian kepada penggunaan tanah sepenuhnya, tanaman jangka pendek, perkebunan cara berkelompok, rancangan ternakan, rancangan pelihara ikan air tawar, pemasaran yang baik dan projek-projek kecil.
Matlamat rancangan ini ialah menambahkan pengeluaran bahan makanan supaya cukup untuk keperluan negara, menambahkan pendapatan rakyat luar bandar sebagai usaha mengurangkan tekanan inflasi dan menggalakkan kerjasama rakyat, wakil rakyat dan pegawai kerajaan supaya lebih cergas melibatkan diri dalam usaha-usaha pembangunan.
Ironinya, setelah 49 tahun rancangan ini diperkenalkan, kita masih di belakang negara-negara Asia Tenggara lain terutama Filipina dan Thailand dari segi pengeluaran beras.
Sehingga hari ini kita masih mengimport bekalan beras kerana pengeluaran beras tempatan tidak mencukupi untuk menampung permintaan rakyat.
Begitu juga sumber-sumber makanan lain seperti sayuran, buah-buahan dan hasil penternakan termasuk daging lembu.
Kebergantungan yang tinggi kepada sumber makanan import amat merugikan rakyat kerana mereka terpaksa membayar harga lebih tinggi berbanding produk tempatan.
Timbul persoalan, adakah strategi-strategi yang telah dilaksanakan oleh kerajaan sebelum ini tidak berjaya? Atau tidak mendapat sambutan daripada para petani?
Justeru, strategi-strategi baharu yang bakal dirangka harus lebih berkesan termasuk mengambil kira penyatuan tadbir urus di peringkat kerajaan Pusat dan kerajaan negeri kerana perihal tanah berada di bawah kerajaan negeri.
Sudah tiba masanya, perbezaan fahaman politik antara kerajaan Pusat dan negeri-negeri khususnya yang ditadbir Perikatan Nasional (PN) di Terengganu, Kelantan dan Kedah diketepikan demi memastikan kelancaran proses pemerkasaan sektor tani demi kesejahteraan rakyat. – UTUSAN
PROFESOR MADYA DR. HARYATI SHAFII, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)