Undi calon PRN yang membawa agenda Melayu - Utusan Malaysia

Undi calon PRN yang membawa agenda Melayu

DR. Mahathir Mohamad (dua dari kiri) menubuhkan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) untuk menyelamatkan negara serta memperjuangkan nasib orang Melayu dan agama Islam. – UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SEAWAL penubuhan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), sekumpulan daripada kami telah dijemput menyertai barisan kepimpinan tertinggi Pejuang yang dikenali sebagai Majlis Eksekutif Pusat (MEP) oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad yang merupakan pengerusi parti pada ketika itu.

Pesanan yang kami terima adalah menyertai Pejuang untuk menyelamatkan negara, memperjuangkan nasib orang Melayu dan agama Islam. Menjadi ahli MEP tidak menawarkan apa-apa ganjaran sama ada jawatan, peluang menjadi calon pilihan raya mahupun kekayaan.

Saya dan rakan-rakan bersetuju untuk menyertai beliau di dalam perjuangan ini dengan hati terbuka serta berpegang pada prinsip, tanpa mengharapkan apa-apa ganjaran. Maka jawatan telah kami terima dengan mengangkat sumpah bersaksikan al-Quran.

Pada satu ketika apabila presiden parti mencadangkan untuk bekerjasama dengan gabungan Pakatan Harapan (PH), Dr. Mahathir bersama 13 ahli MEP meletakkan jawatan kerana tidak mahu melanggar prinsip.

Untuk meneruskan usaha penyatuan Melayu, menyelamatkan negara dan menjamin kesucian agama, maka gerakan Proklamasi Orang Melayu dilancar dan digerakkan oleh Sekretariat Tanah Air dengan Dr. Mahathir sebagai pengerusi.

Gerakan ini amat fokus untuk menyaksikan penyatuan orang Melayu bagi menjamin penguasaan politik, kedudukan istimewa orang Melayu serta agama Islam terus kekal dan terjamin, tanpa mengabaikan kaum-kaum lain.

Bahkan dalam pilihan raya negeri (PRN) ini pun tiada sesiapa daripada kami yang menyertai pertandingan merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di mana-mana kerusi pun.

Tindakan ini sekali gus menunjukkan komitmen dan keikhlasan Dr. Mahathir untuk menyaksikan penyatuan orang Melayu dengan tidak membenarkan mana-mana ahli sekretariat menyertai PRN ini jika ia hanya sekadar untuk memecahkan undi Melayu. Sebaliknya bekas Perdana Menteri itu menyeru pengundi mengundi calon-calon yang membawa agenda perjuangan Melayu.

Kami di bawah Sekretariat Tanah Air amat bertuah dan berbangga untuk terus bersama negarawan yang dihormati dunia ini, berpegang pada prinsip dan meneruskan gerakan Proklamasi Orang Melayu tanpa henti demi untuk penyatuan orang Melayu, bangsa, negara dan agama. – UTUSAN

AZMAN MOHD. HASHIM, Ahli Jawatankuasa Sekretariat Tanah Air

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya