Ubati kebergantungan pada teknologi sebelum kita jadi generasi terkurung

Ubati kebergantungan pada teknologi sebelum kita jadi generasi terkurung

KETAGIHAN gajet perlu ‘diubat’ supaya kita tidak tergolong dalam kumpulan generasi terkurung.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

PERUBAHAN dan perkembangan teknologi telah mengubah corak kehidupan. Menurut pakar falsafah Jerman, Martin Heidegger, teknologi moden menyebabkan wujudnya perasaan terasing dalam diri akibat kebergantungan terhadapnya.

Selain itu, komunikasi secara digital yang menggantikan interaksi bersemuka menyebabkan berkurangnya hubungan emosi dan pemahaman sehingga mewujudkan salah faham.

Urbanisasi yang menatijahkan perkembangan pantas perbandaran juga merupakan faktor lahirnya generasi terkurung. Mereka yang tinggal di bandar lebih cenderung, selesa atau hanya mampu mendiami pangsapuri, kondominium, flat atau ruang tempat tinggal lebih kecil.

Kawasan luar yang terbatas dan gaya hidup yang sibuk menjadikan mereka lebih memilih melakukan aktiviti seharian dalam kediaman sama ada berinteraksi dengan rakan dan keluarga secara maya, belajar secara virtual, menonton rancangan penstriman tanpa henti sehinggalah bersenam di gim tertutup. Faktor lain ialah perubahan cuaca ekstrem termasuk pencemaran udara, bunyi dan lain-lain.

Ia memberi kesan dalam kesejahteraan mental dan kesihatan tubuh badan kerana merupakan cara hidup di luar norma. Al-Quran dalam beberapa ayat sebaliknya menyeru manusia untuk keluar berjalan di muka bumi bertujuan mencari rezeki, melihat kekuasaan serta keagungan penciptaan-Nya.

Ia seperti dinyatakan dalam surah al-Mulk ayat 15 bermaksud: “Dialah yang menjadikan bumi bagi kamu mudah digunakan, maka berjalanlah merata-rata ceruk rantaunya, serta makanlah dari rezeki yang dikurniakan Allah.”

Oleh itu, Islam menekankan amalan tafakur yang mengeluarkan manusia dari minda terkurung penuh tekanan dan kegelisahan kepada amalan membabitkan pemikiran, emosi dan imaginasi aras tinggi.

Pada aspek amalan pula, ibadah dalam Islam bukanlah kerohanian yang dicapai melalui pertapaan dan pemutusan hubungan dengan dunia luar. Sebaliknya, ia menuntut kepada gerak laku secara bersama (berjemaah) dan mementingkan aspek sosial dan kemasyarakatan seperti boleh dilihat dalam solat berjemaah, ibadah haji dan kewajipan zakat.

Walaupun kita tidak boleh menafikan corak hidup masa kini yang merupakan penyebab lahirnya generasi terkurung, namun ia adalah satu pilihan dan boleh diubah. Pengamalan secara konsisten terhadap tuntutan ajaran Islam merupakan penyelesaian untuk mengubah kehidupan seseorang daripada rasa sepi dan terkurung kepada rasa dihargai dan menghargai.-UTUSAN

DR. MOHD KHAIRUL NAIM CHE NORDIN
Akademi Pengajian Islam
Universiti Malaya

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya