Tingkat kualiti, bukan bina sekolah khas murid miskin

Tingkat kualiti, bukan bina sekolah khas murid miskin

KEMENTERIAN Pendidikan harus mempunyai pendirian yang lebih berfokus dalam melaksanakan program untuk meningkatkan kualiti pendidikan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

BARU-BARU ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menguar-uarkan tentang sekolah khas yang akan memberi tumpuan kepada golongan miskin supaya mereka tidak terus tertinggal dalam arus perdana pendidikan. Respons sama diberikan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek terhadap isu ini dengan mengulas lanjut tentang hala tuju serta mekanisme yang jelas dalam menubuhkan sekolah khas untuk golongan miskin tegar di negara ini.

Namun, apa yang menjadi persoalan, apakah sekolah sedia ada tidak mesra murid miskin dan atas dasar apa ditubuhkan lagi sekolah khas untuk golongan itu?

Dalam keadaan ekonomi tidak menentu, seharusnya kita memikirkan untuk menaik taraf sekolah atas keperluan pendidikan lebih baik berbanding menubuhkan sekolah baharu yang memerlukan kos lebih besar.

Sekolah sedia ada sudah cukup untuk melahirkan generasi cemerlang dan ia perlu dinaik taraf dan dimurnikan sedikit sahaja lagi bagi memenuhi aspirasi negara. Justeru, keperluan membina sekolah khas bukan matlamat yang perlu diutamakan tetapi bagaimana sistem pendidikan dapat menjadi lebih baik dan dalam masa sama memberi tumpuan membantu golongan miskin dalam mendapatkan pendidikan dengan sistem sokongan padu daripada kementerian.

Jika dilihat, golongan miskin tegar kebanyakannya tinggal di bandar dengan pendapatan isi rumah antara RM4,000 hingga RM6,000 dan jumlah tanggungan anak seramai lima orang.

Berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan pada 2022, seramai 3.16 juta isi rumah mempunyai pendapatan di bawah RM5,250.

Jadi, adakah membina sekolah khas dapat membantu golongan miskin ini atau menggunakan bajet sedia ada dengan membantu mereka dari segi ekonomi (tawaran biasiswa atau biaya bulanan) agar mereka tidak terus tercicir daripada arus pendidikan?

Justeru, Kementerian Pendidikan harus mempunyai pendirian lebih berfokus dalam melaksanakan program untuk meningkatkan kualiti pendidikan, bukannya membina sekolah khas.

Jika benar-benar ingin membantu anak-anak dari keluarga miskin mendapatkan pendidikan lebih berkualiti, golongan ini perlu disantuni di peringkat akar umbi dan kajian berkaitan perlu dilaksanakan dan hasilnya nanti dapat membantu mereka atas keperluan lebih berfokus.

Kadangkala mereka memerlukan sokongan moral yang berpanjangan agar dapat keluar dari kepompong kemiskinan dan kementerian secara tidak langsung dapat membantu dengan menyediakan keperluan asas bagi golongan ini.-UTUSAN

DR. ABD. RAZAK ZAKARIA
Pusat Penyelidikan & Pembangunan Keluarga
Universiti Malaya

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya