Tidak salah digelar Melayu ultra demi pertahan hak bangsa

Tidak salah digelar Melayu ultra demi pertahan hak bangsa

ORANG Melayu tidak perlu takut digelar Melayu Ultra demi mempertahankan hak kedudukan orang Melayu, kesucian agama Islam dan raja-raja Melayu.-GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

PERKATAAN Melayu ultra dan Melayu liberal sering digunakan dalam perbincangan ataupun penulisan politik yang mengaitkan orang Melayu.

Melayu ultra digunakan untuk menggambarkan kumpulan atau pemimpin Melayu yang kononnya bersifat ekstremis.

Sementara Melayu liberal pula digambarkan sebagai bersifat progresif. Inilah naratif yang digunakan terhadap sebahagian kumpulan mahupun pemimpin Melayu.

Kumpulan atau pemimpin Melayu digambarkan progresif apabila menyokong ataupun lebih tepat lagi, tidak menghalang agenda halus dalam perjuangan politik yang lebih liberal dan terbuka. Golongan ini tiada semangat Melayu kental dan kukuh kerana terbuka serta sanggup menerima agenda halus yang berisiko menyebabkan kedudukan orang Melayu terancam di tanah air sendiri.

Agama Islam itu sendiri progresif. Buktinya, kita boleh lihat semakin ramai bangsa Eropah menerima kembali Islam atas sebab ini.

Oleh kerana pemurah dan sopannya orang Melayu, tetamu yang asalnya datang bertandang dan akhirnya menetap dibenarkan menggunakan segala sumber alam di dalam negara ini untuk menjadi kaya raya.

Orang Melayu yang adil ini menerima dan rela mengiktiraf usaha gigih tetamu tadi, hasil yang dilaba adalah hak mereka untuk dinikmati.

Bahkan tiada satu bangsa pun yang ditindih atau pun disekat, peluang terbuka luas untuk sesiapa sahaja membuat kekayaan.

Setiap orang diberi perlindungan di bawah undang-undang untuk hidup dalam aman, tenteram dan bahagia bagi menikmati hasil usaha masing-masing.

Tetapi apabila menyentuh berkenaan hak kedudukan orang Melayu, agama Islam dan kedaulatan raja-raja Melayu, orang Melayu perlu bersifat ultra. Ini kerana maruah bangsa, akidah serta keimanan adalah tiada kompromi.

Tiada siapa yang hendak menggerakkan usaha bersifat militan serta mencetuskan suasana huru-hara. Tiada siapa juga hendak mengambil atau memaksa rakan-rakan daripada bangsa lain untuk menyerahkan hasil usaha yang merupakan hak mereka yang sah. Kita telah hidup dalam aman damai di atas tanah air bertuah ini ribuan tahun lamanya.

Apa yang kita mahu pertahankan ialah Perlembagaan Persekutuan yang telah tertulis hak kedudukan orang Melayu, kesucian agama Islam dan raja-raja Melayu. Tidak perlu kita bersikap apologetik sekiranya digelar Melayu ultra.-UTUSAN

AZMAN MOHD. HASHIM
Jawatankuasa Sekretariat Tanah Air

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya