SAUDARA PENGARANG,
PILIHAN raya negeri (PRN) di Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan dan Terengganu telah berlalu pada 12 Ogos lalu dan keputusannya sudah diketahui.
Yang jelas parti-parti dalam gabungan Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) seperti PKR, Parti Amanah Negara dan UMNO menunjukkan penurunan sokongan pengundi khususnya kaum Melayu.
Kecenderungan orang Melayu memilih Perikatan Nasional (PN) juga terbukti di Pulau Pinang di mana 11 daripada 15 kerusi Melayu yang dipertandingkan telah dimenangi oleh gabungan parti terbabit.
Malah, semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Permatang Pauh yang selama ini dibayangi pengaruh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut tewas di tangan calon-calon PN.
DAP pula dapat mengekalkan momentum sokongan kaum Cina terhadapnya. Manakala parti Gerakan yang mewakili PN untuk menarik sokongan kaum Cina menunjukkan prestasi buruk dengan hanya memenangi satu daripada 36 kerusi yang ditandinginya. Ini jelas membuktikan bahawa kaum Cina sememangnya teguh bersama DAP.
Sikap pengundi Cina ini menunjukkan bahawa kaum berkenaan sejak Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) tidak mudah berpecah dan mereka mahu menunjukkan kekuatan dan pengaruh politik Cina melalui DAP.
PRN kali ini juga memberi isyarat jelas kepada UMNO bahawa orang Melayu telah beralih sokongan sejak PRU15 lalu dengan menjadikan PN yang ditunjangi Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebagai wadah baharu mereka untuk memperjuangkan kedudukan dan nasib kaum Melayu.
UMNO yang hanya memperoleh 19 kerusi daripada 108 kerusi yang ditandinginya seolah-olah telah hilang aura dan kekeramatannya selepas PRU15 yang lalu.
Mungkin aura UMNO masih ada di Negeri Sembilan apabila parti itu berjaya memperoleh 14 kerusi dan ini menandakan bahawa negeri terbabit boleh menjadi tapak kebangkitan semula UMNO.
Apa pun, keputusan PRN kali ini menuntut Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bersikap telus dan jujur memikirkan sebab-sebab kekalahan teruk parti yang dipimpinnya.
PRN kali ini juga memberikan isyarat jelas kepada Anwar bahawa orang Melayu terutamanya generasi muda tidak bersamanya seperti mana yang berlaku dalam PRU15 yang lalu.
Trend penolakan pengundi Melayu ini menuntut Anwar untuk menyemak kembali cara berpolitiknya dan suara perjuangannya yang sebenar sejak memegang tampuk kekuasaan negara.
Apakah keputusan PRN ini juga sebagai satu referendum orang Melayu menolak kepemimpinannya juga harus dinilai dengan telus dan jujur.
Apa pun, pada hemat saya Anwar dan Ahmad Zahid tidak mungkin akan melepaskan jawatan masing-masing. Mereka mungkin mempunyai alasan-alasan yang wajar untuk kekal pada kedudukan masing-masing.
Namun, jika ada desakan atau penolakan yang kuat dari dalam yang tidak diduga berlaku maka kemungkinan kedua-dua pemimpin tertinggi terbabit mengambil langkah melepaskan jawatan adalah sesuatu yang tidak mustahil berlaku.
Sesungguhnya politik adalah sesuatu yang serba mungkin di mana pergolakan dalaman dan luaran boleh merubah sesuatu yang pada mulanya nampak tenang dan stabil. – UTUSAN
MOHD. AYOP ABD. RAZID, Penganalisis sosiopolitik bebas