Tiada istilah perlombongan nadir bumi lestari

Tiada istilah perlombongan nadir bumi lestari

KITA telah melihat sejarah bahawa perlombongan hanya memberi manfaat kepada segelintir orang tetapi membawa kesan negatif terhadap alam sekitar. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

BARU-BARU ini, Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim dalam satu kenyataan menyatakan bahawa 16.1 juta tan unsur nadir bumi dikesan di Malaysia dengan nilai pasaran RM809.6 bilion.

Dengan anggaran pendapatan hampir RM1 trilion daripada unsur nadir bumi sahaja, ia bukan jumlah yang kecil dan semestinya akan melibatkan aktiviti perlombongan.

Secara amnya, sumber asli seperti nadir bumi akan berkurangan apabila kita meneruskan aktiviti perlombongan. Perlombongan akan mengalihkan sumber-sumber ini dari lokasi simpanan semula jadi dengan menggunakan pelbagai kaedah dan kaedah-kaedah ini akan menentukan tahap keseriusan pencemaran.

Semasa proses perlombongan, permukaan atau kawasan di bawahnya diubah sepenuhnya. Ini menjejaskan keseimbangan alam sekitar atau ekosistem setempat.

Semua aktiviti perlombongan tertakluk kepada risiko keradioaktifan, logam berat dan risiko pencemaran lain pada tahap yang berbeza. Banyak terowong atau kolam perlombongan tidak digunakan dibiarkan begitu sahaja dan dalam beberapa kes ditukar menjadi kawasan perumahan atau kolam rekreasi tanpa proses dekontaminasi yang sewajarnya.

Dalam pada itu, pembangunan lestari ditakrifkan sebagai memenuhi keperluan generasi masa kini tanpa menjejaskan keperluan generasi akan datang. Malangnya, kegiatan melombong lebih senang dilaksanakan dan menguntungkan tanpa mengira kesan kepada generasi masa depan.

Disebabkan oleh aktiviti perlombongan mengalih keluar sumber asli dari lokasi semula jadi, maka ia tidak layak digelar sebagai aktiviti mampan atau lestari. Langkah pelombong meminimumkan kesan pencemaran dan kelestarian adalah perkara yang jauh berbeza.

Bagaimanapun, sesetengah sektor perniagaan yang tidak bertanggungjawab sering menyalahgunakan istilah kelestarian ini untuk menggambarkan aktiviti-aktiviti mereka sebagai lestari atau mesra alam.

Dakwaan perlombongan lestari yang mengelirukan adalah satu kaedah yang digunakan oleh kumpulan berkepentingan untuk memberi gambaran palsu bagi mewajarkan keperluan mengembangkan sektor perlombongan.

Kita telah melihat sejarah bahawa perlombongan hanya memberi manfaat kepada segelintir orang tetapi membawa kesan negatif terhadap alam sekitar dan populasi yang lebih besar.

Selain daripada itu, impak terhadap kesihatan manusia akibat daripada aktiviti perlombongan bukanlah situasi jelas seperti tikus makmal yang didedahkan kepada bahan pencemar untuk satu tempoh masa dan kita boleh lihat kesan memudaratkan yang terhasil.

Sesetengah bahan kimia dan logam berat juga boleh terkumpul di dalam badan dan memberi kesan secara perlahan-lahan.

Pendedahan akut (dos tinggi bagi pendedahan jangka pendek) atau kronik (dos rendah bagi pendedahan jangka panjang) hanya berdasarkan kemalangan industri dan kejadian pencemaran yang telah direkodkan.

Misalnya, sehingga kini laporan terperinci tentang kesan alam sekitar dan kesihatan bagi kejadian pencemaran Pasir Gudang beberapa tahun yang lepas masih belum dikeluarkan untuk pengetahuan umum.

Tambahan pula, bahan pencemar yang terhasil daripada aktiviti perlombongan boleh bergerak secara bebas juga akan memasuki rantaian makanan kerana sumber air juga penting bagi sektor pertanian. Apabila rantai makanan mula tercemar, ia akan memasuki badan manusia melalui makanan.

Malaysia memerlukan pemimpin dan individu yang berpandangan jauh untuk memimpin negara ini daripada permainan bekalan dan permintaan bahan-bahan nadir bumi yang dikawal oleh sesetengah kumpulan berkepentingan.

Kita perlu memahami bahana yang akan menimpa akibat aktiviti perlombongan ini berbanding dengan gula-gula kekayaan dan kesenangan yang dijanjikan.-UTUSAN

PIARAPAKARAN S.
Presiden Persatuan Penyelidikan Air
dan Tenaga Malaysia (AWER)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya