SAUDARA PENGARANG,
KETIKA Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada tahun lalu, MCA hanya berjaya mengekalkan dua kerusi berbanding sebilangan besar yang mereka tandingi.
Ini jelas membuktikan MCA telah ditinggalkan majoriti masyarakat Cina yang lebih mesra memilih DAP. Salah satu alasan utama kaum Cina menolak MCA kerana kerjasamanya bersama UMNO itu sendiri.
MCA sebagai salah satu komponen Barisan Nasional (BN) bukan sahaja gagal memastikan kepentingan masyarakat Cina dilindungi di bawah pemerintahan kerajaan BN, tetapi juga dilihat seolah-olah cuba ‘menyucikan’ perbuatan rasuah dan amalan memainkan naratif bangsa, agama dan institusi diraja (3R) oleh UMNO sejak dahulu lagi.
Bagaimanapun, selepas PRU15, UMNO membentuk Kerajaan Persekutuan bersama Pakatan Harapan (PH) yang antaranya dianggotai oleh DAP. Kini, kedua-dua DAP dan UMNO dilihat cuba membaiki imej satu sama lain demi penyokong mereka masing-masing.
Sebahagian besar masyarakat Cina kelihatan bersetuju dengan DAP untuk memaafkan UMNO. Oleh itu, jika masyarakat Cina dapat memaafkan dan menerima UMNO, tiada alasan bagi kaum itu untuk terus menolak MCA yang selama ini tidak melakukan sebarang kesalahan selain bersama dan menyokong UMNO sahaja.
Mendepani pergolakan landskap politik terkini, adalah satu keperluan untuk para pengundi membuka minda mereka dan melupakan sejarah lalu di mana BN termasuk MCA dan PH yang dianggotai DAP telah melaksanakan pelbagai perkara baik dan juga buruk dalam memimpin kerajaan.
Kedua-dua MCA dan DAP telah menjadi sebahagian daripada kerajaan perpaduan. Jika mana-mana parti gagal melaksanakan tugas, pengundi tidak patut segan silu untuk menghukum mereka melalui kertas undi.
Pengundi tidak patut setia kepada parti politik tertentu tetapi haruslah setia dengan perjuangan menjaga kepentingan rakyat dan negara tercinta. – UTUSAN
ANDY TEOH, Ketua Pemuda MCA Bahagian Petaling Jaya