SAUDARA PENGARANG,
DI era digital ini, fenomena sugar baby tidak asing lagi terutama dalam kalangan mahasiswa. Dalam persekitaran ekonomi tidak menentu ketika ini, tiada siapa mahu hidup susah walaupun jalan dipilihnya salah sama ada dari segi agama atau sosial.
Situasi ini menggambarkan kebejatan akhlak dalam kalangan mahasiswa.Selalunya, kegiatan berdosa ini dilakukan oleh mahasiswa apabila mereka menghadapi masalah kewangan dan dalam masa sama perlu meneruskan pengajian di peringkat universiti atau kolej.
Pada pandangan saya, sebenarnya, pengaruh media sosial dan budaya konsumerisme adalah salah satu punca mengapa sesetengah mahasiswa terjerat dengan masalah sosial ini.
Golongan ini mungkin mudah tergoda untuk mengikuti gaya hidup glamor dan mewah yang ditampilkan oleh golongan kaya, sehingga tidak teragak-agak menjadi sugar baby. Bagi mereka, ini merupakan jalan singkat dan mudah untuk memperoleh segala kemahuan di dunia ini.
Isu ini pernah dibincangkan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dalam memutuskan tindakan yang wajar diambil kepada mereka yang terlibat.
Bahkan satu penubuhan jawatankuasa bertindak melalui KPT dicadangkan dengan melibatkan agensi kerajaan yang bertanggungjawab bagi meneliti perkara ini dari aspek perundangan, sosial, pencegahan dan intervensi ke atas pihak yang terlibat.
Perancangan yang teratur dari segi maklumat dan data adalah perlu bagi memastikan tindakan yang akan diambil adalah tepat dan mampu mencegah budaya tidak sihat ini.
Berdasarkan pendedahan platform Sugarbook, hubungan ‘sugar daddy- sugar baby’ terbesar adalah di Asia dengan menunjukkan peningkatan pendaftaran pelajar sehingga 40 peratus pada Januari 2021.
Justeru, pelbagai pihak termasuk institusi keluarga perlu memainkan peranan dan mengambil tanggungjawab untuk membanteras gejala ini secara menyeluruh. – UTUSAN
ALIAHMAISARAH MOHD. KAHAL, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)