SAUDARA PENGARANG,
KAMI sama sekali tidak bersetuju dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) yang kebelakangan ini bertindak seolah-olah sebagai ‘abang besar’ dengan sewenang-wenangnya menyekat kandungan dalam talian.
Kami bimbang, sejak akhir-akhir ini pengamal media telah dipanggil oleh SKMM untuk memberi penjelasan mengenai kandungan yang mereka bawa menerusi portal berita dan laman dalam talian masing- masing.
Apa lebih membimbangkan, kebanyakan kandungan dilabelkan sebagai ‘menyinggung’ itu hanyalah laporan dan pendapat yang dianggap kritikal terhadap kerajaan.
Kami sama sekali tidak dapat menerima sebarang percubaan untuk menggunakan agensi kerajaan seperti SKMM bagi menyoal, menapis atau menyekat portal dan kandungan berita dalam talian.
Kita sudah lihat bagaimana kerajaan-kerajaan terdahulu walaupun hanya kerana aduan kecil daripada orang ramai atau pihak elit pemerintah, telah diambil tindakan dengan pantas walaupun perbuatan seumpama itu tidak perlu sama sekali.
Kerajaan pada hari ini dipilih atas janji untuk membolehkan pengaliran maklumat yang bebas dan bagi menjamin kebebasan media.
Aduan daripada para pengamal media bahawa laman web mereka telah disekat semakin meningkat. Ia adalah trend tidak sihat yang mesti dihentikan serta-merta.
Kami percaya badan pengawal selia terbabit mempunyai keutamaan lain, dan oleh itu menyekat laman web bukanlah salah satu daripadanya.
Walaupun memahami internet menjadi pencetus kebencian dan penyebar maklumat salah, namun kami percaya pengamal media adalah individu berdisiplin yang dipandu oleh profesionalisme serta etika.
Alam media sosial yang tidak terkawal boleh difahami sebagai masalah. Kami mengakui maklumat salah dan berita palsu(fake news) sudah sampai pada tahap krisis. Bagaimanapun, kami juga percaya peranan yang harus dimainkan oleh media bebas di negara ini. Kerajaan mesti memastikan ekosistem yang betul dan persekitaran kondusif untuk pengamal media bekerja tanpa rasa takut dan pilih kasih.-UTUSAN
TAN SRI JOHAN JAAFFAR
DATUK A. KADIR JASIN
DATUK HUSSAMUDDIN YAACOB
DATUK SERI AZMAN UJANG
DATUK DR. CHAMIL WARIYA
DATUK YONG SOO HEONG
DATUK ZAKARIA WAHAB
DR. G. MANIMARAN