SAUDARA PENGARANG,
BEBERAPA rakan bertanyakan kepada saya, apakah tujuan dan matlamat yang ingin dicapai melalui aktiviti menanam pokok?
Jawapan saya mudah, pokok membekalkan oksigen. Setiap pokok adalah rahmat. Nilai jumlah oksigen yang dihasilkan oleh setiap pokok yang ditanam tidak dapat ditukar dengan wang ringgit tetapi untuk membuktikan kepentingannya, ia perlu dinilai dari segi ekonomi.
Umumnya, seorang dewasa memerlukan tujuh hingga lapan liter udara seminit, iaitu sekitar 11,000 liter udara setiap hari. 20 peratus dari jumlah itu adalah oksigen. Ini bermakna manusia memerlukan 550 liter oksigen setiap hari.
Untuk pengetahuan, dua batang pokok matang menghasilkan jumlah oksigen yang hampir sama dengan keperluan seorang individu dewasa.
Atas alasan ini, maka kita perlu memahami kepentingan tumbuhtumbuhan yang ada di sekeliling dan mengetahui sebab ia perlu diselamatkan.
Malah, tumbuh-tumbuhan juga penting untuk haiwan. Menurut Tabung Alam Sedunia (WWF), penggunaan sumber semula jadi oleh manusia meningkat dua kali ganda sejak 1970-an. Ini bermakna bumi kehilangan 33 peratus daripada sumber semula jadi, misalnya kepupusan banyak spesies haiwan.
Para saintis biologi telah memberi amaran bahawa jika alam semula jadi tidak dilindungi maka boleh berlaku kepupusan menyeluruh dalam masa terdekat.
Pembangunan mampan dan amalan gaya hidup hijau dan mesra alam amat diperlukan dengan mengambil kira situasi semasa.
Oleh itu, setiap bandar perlu mempunyai projek hijau dengan memperbanyakkan tanaman pokok kerana secara logiknya manusia tidak boleh hidup tanpa oksigen yang dibekalkan pokok.-UTUSAN
N.V. SUBBAROW
Pegawai Pendidikan Pengguna & Alam Sekitar,
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)