SAUDARA PENGARANG,
SEKOLAH pondok selalu menjadi tajuk utama berita media massa bila berlaku kebakaran. Malahan ada pihak melabelkan sekolah jenis ini sebagai tempat melahirkan golongan pelampau agama.
Tidak kurang juga mengatakan sekolah pondok tidak dapat memberikan sumbangan besar kepada negara dalam melahirkan modal insan berdaya maju yang mampu memberi manfaat kepada pembangunan ekonomi mampan serta perkembangan sains dan teknologi.
Bagi saya, stigma seperti ini harus dikikis. Dalam pada itu, tidak dinafikan kerajaan banyak membantu kelangsungan kewujudan sekolah pondok melalui bantuan kewangan terutama untuk membaiki dan menaik taraf infrastruktur.
Namun, apa yang sangat diperlukan sekolah pondok untuk menjadi relevan dengan perkembangan semasa adalah sumbangan kepakaran dalam pelbagai bidang selain agama.
Justeru, saya mencadangkan pihak universiti, industri dan syarikat milik kerajaan (GLC) untuk membantu sekolah pondok terpilih dari segi akademik dan latihan kemahiran.
Anggaplah ia sebagai tanggungjawab sosial korporat (CSR) masing-masing kepada masyarakat. Perlu diingatkan, CSR ini mestilah bebas daripada mana-mana ideologi politik.
Sekiranya ada pihak telah mengambil tindakan seperti saya sarankan, gandakan dan luaskanlah usaha anda.
Sebagai contoh, fakulti atau pusat pengajian bahasa di universiti boleh mengendalikan kursus asas bahasa Inggeris dan juga bahasa asing seperti bahasa Korea, Jepun, Jerman dan Sepanyol untuk pelajar sekolah pondok.
Suatu hari nanti, para pelajar boleh bekerja sebagai pemandu pelancong dan penterjemah. Syarikat Proton dan Perodua pula boleh mengadakan bengkel asas membaiki dan menyelenggara kereta.
Setelah tamat pengajian, pelajar sekolah pondok yang tidak berpeluang melanjutkan pengajian suda ada ilmu asas untuk bekerja di bengkel kenderaan atau membuka bengkel sendiri.
Dengan sekatan eksport beras putih biasa oleh kerajaan India, dunia akan mengalami masalah kekurangan bahan makanan itu.
Oleh itu, syarikat tempatan yang terlibat dalam industri beras boleh terlibat sama untuk menyediakan kursus dan bengkel asas tentang pengurusan penanaman padi kepada para pelajar.
Atlet dan bekas atlet sukan memanah pula boleh memberi sumbangan kepakaran masing-masing bagi melahirkan jaguh sukan dari sekolah pondok. Memanah dianggap sebagai sukan yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW.
Jika alatan memanah peringkat pertandingan itu mahal, guna alatan memanah biasa-biasa sahaja. Yang penting adalah pengetahuan tentang teknik memanah, kaedah pernafasan dan pemfokusan ke arah sasaran.
Sekolah pondok mempunyai tenaga pengajar, kewangan, peralatan, kelengkapan dan kemudahan yang terhad.
Dengan bantuan pihak luar ini, para pelajar dapat menambah pengetahuan dan kemahiran dalam pelbagai bidang.
Ia dapat memberikan nilai tambah kepada para pelajar dan secara tidak langsung boleh mengurangkan tekanan pengajian dalam bidang agama.
Jika cukup jam kredit pembelajaran dan latihan yang ditetapkan, para pelajar boleh diberikan sijil kemahiran oleh pihak universiti, industri dan GLC sebagai pengiktirafan untuk kemajuan kerjaya kelak.
Dengan penambahan ilmu dan kemahiran dalam pelbagai bidang, saya harap masyarakat tidak lagi melabelkan sekolah pondok sebagai sekolah kelas ketiga yang sesuai sebagai pusat pemulihan akhlak sahaja.
Tambahan lagi, jangan anggap sekolah pondok semata-mata tempat kita memohon mengadakan solat hajat untuk menolak bala sahaja.
Moga suatu hari nanti lepasan sekolah pondok menjadi imam besar yang fasih berbahasa Korea dan mampu membaiki serta menyelenggara kereta jenama Tesla. – UTUSAN
MARISSA QT, Kuala Lumpur