Sambut merdeka mesti bersemangat seperti kempen PRN - Utusan Malaysia

Sambut merdeka mesti bersemangat seperti kempen PRN

KIBARLAH Jalur Gemilang supaya sambutan ulang tahun kemerdekaan negara ke-66 kali ini lebih meriah. – UTUSAN/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SAYA menyokong penuh keputusan kerajaan negeri Terengganu di bawah pentadbiran Perikatan Nasional (PN) untuk menggunakan tema dan logo sambutan Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia tahun ini sama seperti diguna pakai kerajaan Pusat.

Diharapkan keputusan ini akan menjadi ikutan tiga negeri lain di bawah PN iaitu Perlis, Kedah dan Kelantan. Menyambut ulang tahun kemerdekaan negara tidak seharusnya dipolitikkan.

Jika dikaitkan dengan politik, sudah pasti akan mengelirukan rakyat terutama kanak-kanak dan remaja.

Memang wajar sekali logo dan tema sambutan ulang tahun kemerdekaan disamakan oleh semua kerajaan negeri dan kerajaan Pusat.

Kita harus sedar, sambutan tersebut adalah untuk meraikan kejayaan negara mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.

Tema Malaysia Madani: Tekad Perpaduan, Penuh Harapan amat sesuai dalam keadaan negara yang perlu menyatupadukan segera seluruh rakyat setelah dilihat agak berpecah semasa kempen pilihan raya negeri (PRN) pada 12 Ogos lalu.

Beberapa minggu sebelum PRN tersebut, pelbagai kata diluahkan oleh pelbagai pihak hingga mengguris hati pihak lain.

Bukan sahaja pihak yang berlainan kaum, malah juga sesama sendiri. Justeru, tema sambutan peringkat kebangsaan ini perlu diterjemahkan oleh semua pihak dalam memenuhi harapan untuk mencapai perpaduan rakyat dalam sebuah negara yang sudah 66 tahun mencapai kemerdekaan.

Sesungguhnya kita harus sedar betapa hancurnya perasaan para pejuang kemerdekaan masa lalu jika mereka melihat rakyat yang hidup di sebuah negara merdeka saling bercakaran sesama sendiri hingga boleh menggugat keamanan.

Kalau semasa berkempen dalam PRN, ramai yang begitu bersemangat memeriahkan suasana siang dan malam untuk memasang bendera parti masing-masing serta sepanduk, kenapa semasa menyambut ulang tahun kemerdekaan suasana sedemikian tidak boleh diwujudkan dengan memasang bendera negeri dan Jalur Gemilang? – UTUSAN

RAMLI ISMAIL, Taman Guru Jaya, Kangar, Perlis

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya