SAUDARA PENGARANG,
SELALUNYA kita dengar golongan dewasa yang mempunyai simpanan banyak termasuk pesara yang baharu mengeluarkan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menjadi mangsa penipuan pelaburan kerana tertarik untuk mendapat keuntungan banyak dalam tempoh singkat.
Tetapi tahukah kita terdapat juga yang ditipu itu dalam kalangan remaja berusia 15 hingga 25 tahun?
Walaupun mempunyai simpanan sedikit, tetapi wang yang lesap itu cukup penting bagi digunakan untuk hidup berdikari seperti memulakan perniagaan, membayar wang pendahuluan membeli motosikal dan kereta.
Pelbagai modus operandi digunakan oleh penipu bagi memancing minat golongan muda termasuk memuat naik tawaran dalam media sosial kononnya pelaburan itu sah.
Terdapat pelbagai faktor remaja mudah terjerat dengan skim pelaburan terbabit termasuk kurang celik kewangan.
Berbekalkan ilmu yang sedikit berkaitan pelaburan dan sifat ingin mencuba secara terus tanpa mendapatkan maklumat sahih menyebabkan mereka mudah menjadi mangsa.
Sikap takut untuk terlepas sesuatu peluang lumayan juga mendorong remaja membuat keputusan pelaburan secara tergesa-gesa.
Oleh itu, bagi mengelak golongan remaja daripada terjerat dengan skim penipuan pelaburan sedemikian, mereka perlu mengikuti beberapa kempen anjuran pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mahupun kerajaan.
Kempen celik kewangan itu dapat meningkatkan kesedaran golongan remaja berkaitan bahaya penipuan pelaburan yang boleh memakan diri sendiri.
Oleh itu, mereka akan sentiasa berhati-hati sebelum membuat pelaburan demi mengelak daripada ditipu.
Subjek pendidikan kewangan yang diajar di sekolah juga perlu ditambah baik bagi mendedahkan golongan remaja mengenai cara-cara melabur yang betul termasuk membuat penilaian risiko terlebih dahulu.
Bagi remaja beragama Islam, mereka perlulah mencari medium pelaburan patuh syariah, iaitu saham yang terhindar daripada unsur tidak jelas (gharar), perjudian (maisir) dan faedah (riba).
Akhir sekali, golongan remaja hendaklah memilih medium yang betul dan harus mendedahkan diri dengan banyak maklumat sebelum terlibat dalam dunia pelaburan.
Mengambil maklum atau menyiasat dengan teliti berkaitan maklumat syarikat pelaburan adalah sangat penting untuk mengelak daripada ditipu ‘hantu pelaburan.’
Golongan remaja juga boleh melayari laman web rasmi Suruhanjaya Sekuriti yang menyenaraikan semua syarikat pelaburan yang berdaftar dan sah. – UTUSAN
MUHD. KHAIZUL HAKIMI HAIRUDIN, Universiti Utara Malaysia (UUM)