SAUDARA PENGARANG,
SELEPAS Lynas Rare Earths Ltd. (Lynas), kini kita dengar kecurian unsur nadir bumi (REE).
Kisah ini juga ‘meletup’ kerana politik, bukan kerana kempen jualan dalam talian. Percayalah, semua tentang REE dan dakwaan ke atas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor adalah replika baharu seperti Lynas. Semua ini hanya propaganda politik dan retorika politik.
Di belakang retorik REE adalah suatu ‘politik besar’ melibatkan kuasa geopolitik dunia.
Hari ini, REE adalah satu bahan mineral pengganti kepada bijih timah atau getah yang pernah menjadi elemen dan tarikan penjarahan ekonomi dan politik Eropah ke atas tanah air kita.
China hanya mula mengeluarkan sejumlah besar REE ini pada awal 1980-an dan kemudian menjadi pengeluar terbesar dunia pada awal 1990-an. Ketika ini perlumbaan gergasi syarikat teknologi seperti Apple, Microsoft dan lain-lain sedang berkembang secara global.
Mulai saat itu, China mula mengukuhkan pegangannya di pasaran nadir bumi dunia. Mereka menjual nadir bumi pada harga sangat rendah (‘potong kepala’) sehingga lombong di Amerika Syarikat dan banyak lagi di seluruh dunia tidak dapat bersaing dan tutup kedai.
Pada masa sama, permintaan dunia semakin meningkat apabila logam nadir bumi ini direka bentuk menjadi pelbagai jenis produk untuk sistem pertahanan, penerbangan, perindustrian dan elektronik bagi pengguna awam.
China memanfaatkan keadaan ini dan kedudukan dominannya dengan mula menyekat eksport dan membenarkan harga unsur nadir bumi meningkat ke paras cukup luar biasa. Beginilah China mencatur harga pasaran dunia.
Penguasaan China memuncak pada sekitar 2010 apabila mengawal kira-kira 95 peratus daripada pengeluaran secara dominan dan harganya meningkat lebih 500 peratus dalam beberapa tahun sahaja.
Namun, walaupun China adalah peneraju dunia dalam pengeluaran nadir bumi, mereka sebenarnya hanya mengawal kira-kira 36 peratus daripada rizab REE dunia. Ini disedari oleh China.
Berikutan kesedaran itu, syarikat China membeli sumber nadir bumi di negara lain. Di sinilah bermulanya Lynas yang masuk ke Malaysia.
Pada 2009, syarikat perlombongan China membeli pegangan majoriti dalam Lynas Corporation, sebuah syarikat Australia yang ada kapasiti tinggi mengeluarkan unsur nadir bumi di luar China.
Bermula 2011, lombong di Australia mula mengeluarkan nadir bumi. Mereka membekalkan kira-kira dua hingga tiga peratus daripada pengeluaran dunia bernilai berbilion dolar.
Oleh kerana itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengingatkan bahawa kita harus kembali mengikat kesatuan bangsa agar tanah air ini tidak hilang dijarah sekali lagi oleh kuasa asing menggunakan parti-parti politik tertentu untuk menguasai tanah dan lombong yang menyimpan harta buat masa depan anak cucu kita.-UTUSAN
MAHDZIR IBRAHIM
Ahli Majlis Tertinggi
Sekretariat Proklamasi Orang Melayu