SAUDARA PENGARANG,
PILIHAN Raya Negeri Ke-15 (PRN15) bagi enam negeri pada 12 Ogos lalu sudah berlalu dengan status quo 3-3 masih kekal. Pun begitu dari statistik jumlah undi yang diterima jelas menunjukkan kemerosotan Barisan Nasional (BN) dalam memenangi hati rakyat.
Jika dilihat UMNO/BN ditolak oleh orang Melayu bukan sebab tidak relevan sebaliknya parti itu masih mampu bangkit kembali dengan tiga syarat utama iaitu:
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi wajar bertanggungjawab sepenuhnya serta bersedia meletakkan jawatan segera.
UMNO/BN harus berani kembali menjadi pembangkang sebelum dipaksa berbuat demikian oleh Pakatan Harapan (PH).
Tujuan utama UMNO/BN diterima bekerjasama dengan PH ialah bagi menarik sokongan kaum Melayu namun mimpi itu nampaknya tidak menjadi kenyataan . Walaupun tanpa UMNO/BN, 26 kerusi Kerajaan Perpaduan masih berfungsi secara majoriti mudah.
Masa untuk UMNO/BN bergerak secara solo sudah berakhir sepertimana suara rakyat. UMNO perlu membuang sifat angkuh dengan bergabung di bawah satu bumbung demi kepentingan Melayu dan Islam bersama Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Kemenangan 14 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan ialah isyarat jelas bahawa pengundi Melayu lebih rela Datuk Seri Mohamad Hasan memangku jawatan Presiden UMNO.
Malah selepas keputusan PRN ini, UMNO sewajarnya menjalani proses pemutihan dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16). – UTUSAN
RAHMAD ISAHAK, Aktivis politik