SAUDARA PENGARANG,
PILIHAN raya negeri (PRN) di enam negeri di pada 12 Ogos lalu sudah berakhir. Syukur semuanya berjalan dengan lancar dan sempurna tanpa berlaku sebarang perkara tidak diingini.
Ucapan penghargaan dan terima kasih harus diberikan kepada semua pihak khususnya polis dan tentera yang bertugas siang dan malam untuk menjaga keselamatan dan ketenteraman.
Kini segala keputusan sudah diketahui. Sememangnya adat pertandingan, ada yang kalah dan ada yang menang. Bagi yang kalah, tidak seharusnya berdukacita dan terlalu kecewa.
Bagi yang menang pula, jangan terlalu membangga diri. Kemenangan diperoleh bukan tiket untuk mereka berseronok-seronok. Ini adalah titik permulaan.
Calon-calon pilihan raya yang menang perlu melalui tempoh kira-kira lima tahun dari sekarang untuk memegang tugas sebagai wakil rakyat. Para wakil rakyat tersebut perlu mendengar semula ucapan ketika berkempen dahulu agar tidak berlaku janji hanya tinggal janji.
Tunaikanlah tanggungjawab dan amanah dengan penuh kewibawaan. Rakyat tidak mengharapkan bulan dan bintang dijatuhkan ke riba mereka.
Apa yang diharapkan oleh rakyat adalah hidup mereka berubah kepada keadaan lebih selesa. Amalkanlah pegangan politik yang matang. Apabila pilihan raya sudah berakhir, kembali semula mengamalkan semangat persaudaraan, apatah lagi sesama umat Islam.
Satu perkara lagi perlu diingatkan, tanggungjawab semua pemimpin dan ahli parti politik yang bertanding memastikan semua gambar, bendera dan sepanduk yang digantung sepanjang masa berkempen ditanggalkan.
Janganlah sampai pihak berkuasa tempatan mengeluarkan notis tanggal, baharulah semuanya hendak dibuat.
Jika semuanya dibiar bergayutan berminggu-minggu atau berbulan-bulan, sudah tentu akan merosakkan pemandangan terutama kepada pelancong luar.
Tanggungjawab ini juga harus dipikul oleh parti yang kalah. Jangan setelah mengalami kekalahan, segala-galanya tidak dipedulikan lagi. – UTUSAN
RAMLI ISMAIL, Taman Guru Jaya, Kangar, Perlis