SAUDARA PENGARANG,
KEWUJUDAN dunia maya seperti internet dan media sosial yang boleh dilayari melalui telefon bimbit membawa banyak perubahan dalam landskap kehidupan manusia termasuk ketika kempen pilihan raya negeri (PRN).
Jika dahulu ramai ahli politik memilih untuk berhubung secara bersemuka dengan pengundi, kini tidak lagi kerana wujud kemudahan teknologi dunia maya untuk mereka berkempen.
Bagaimanapun, kehadiran individu termasuk ahli politik di platform dunia maya harus mematuhi etika ditetapkan.
Jika diperhalusi, pelanggaran etika penggunaan media sosial di negara ini adalah pada skala amat membimbangkan.
Statistik oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menunjukkan terdapat peningkatan lebih 60 peratus pertuduhan difailkan di mahkamah berkaitan media sosial pada 2020 berbanding tahun sebelumnya.
Antara etika yang harus dipatuhi adalah memastikan setiap maklumat dimuat naik adalah tepat dan memberikan nilai kepada pengguna lain.
Justeru, jika perkara ini diambil remeh, pastinya perkongsian tidak sahih akan membawa kekeliruan kepada masyarakat yang akhirnya berpotensi membawa kepada kejatuhan institusi sosial, ekonomi mahupun politik.
Dalam pada itu, tidak dinafikan Malaysia adalah antara negara yang tinggi penggunaan media sosial di dunia.
Berdasarkan data dikeluarkan oleh MCMC pada 2020, hampir 90 peratus penduduk menggunakan media sosial atas pelbagai tujuan.
Kawalan lebih ketat harus diambil kerajaan bagi memantau segala aktiviti dan tingkah laku masyarakat di media sosial.
Contohnya, agensi penguat kuasa menggunakan algoritma dan kata kunci tertentu bagi mengesan penggunaan bahasa dan ayat yang digunakan.
Kerajaan perlu mengenakan hukuman denda terhadap mana-mana individu yang tidak beradab dalam melayari media sosial. – UTUSAN
DR. NAZRA ALIFF NAZRI dan DR. FAIZ MASNAN, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP)