SAUDARA PENGARANG,
ADA pihak menyatakan golongan muda dijangka memilih wakil rakyat dalam pilihan raya negeri (PRN) berdasarkan latar belakang calon yang berpotensi membawa perubahan dan bukan mengundi berasaskan parti politik.
Dalam pada itu, termasuk dalam kumpulan pengundi muda itu ialah generasi yang lahir antara 1981 dan 1996 yang disebut sebagai generasi milenial atau generasi Y yang kini berusia antara 27 hingga 40 tahun.
Ini bermakna, generasi ini kebanyakannya telah berada dalam alam pekerjaan atau mungkin ada segelintir yang masih menyambung pelajaran di peringkat pasca siswazah.
Profesor psikologi di Dalton State College, Amerika Syarikat, Christy Price telah melakukan satu kajian pemerhatian ke atas sekelompok generasi ini dan merumuskan mereka lebih menggemari bahan bacaan berbentuk visual dan menarik perhatian.
Memandangkan tempoh daya perhatian adalah lebih pendek, maka mereka memerlukan maklumat berbentuk ringkas tetapi menarik supaya lebih mudah untuk diingati dan difahami.
Kerana itu, TikTok menjadi sangat berkesan dalam menyampaikan maklumat dan membentuk persepsi kerana kandungan yang dibuat adalah padat, cepat dan mudah untuk difahami dan ia sesuai dengan tempoh daya perhatian mereka yang pendek.
Generasi ini juga lebih berdikari dan berpemikiran tersendiri. Mereka terdidik sejak kecil dengan perhatian yang cukup terutamanya daripada ibu bapa. Mereka sudah terbiasa dengan bimbingan dan tunjuk ajar secara dekat.
Apabila memasuki alam pekerjaan, mereka berasa dihargai apabila ada pihak ambil tahu tentang aspirasi kerjaya mereka selain mahu diberi ruang untuk berhujah dan pendapat mereka didengar.-UTUSAN
DR. NADIAH ABDUL AZIZ
Universiti Pengurusan dan Teknologi
Tunku Abdul Rahman (TAR UMT)