SAUDARA PENGARANG,
BAHANG pilihan raya negeri (PRN) bagi enam buah negeri semakin hangat dengan pelbagai isu serang menyerang antara parti-parti politik yang akan bertanding nanti.
Keadaan politik di negara ini menjadi kacau-bilau dan huru-hara sejak Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 2018. Ketika itu banyak dakwaan dikenakan kepada pihak yang kehilangan kuasa dan sudah tentu semakin lemah.
Keadaan itu berlarutan sehingga pihak yang dahulu bergabung tenaga untuk menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional (BN) kini sudah menjadi musuh kerajaan perpaduan.
Situasi semakin tegang apabila Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor ditahan atas dakwaan pertuduhan mengeluarkan kenyataan mempertikaikan titah Yang di-Pertuan Agong berhubung penubuhan kerajaan perpaduan dan menghasut mengenai Sultan Selangor.
Agak menghairankan, semua ini dilakukan dengan cepat dan serta-merta, adakah ini semua ada kaitan dengan PRN nanti? Kenyataan ini nampak macam satu alasan dangkal, apatah lagi semua mengetahui Muhammad Sanusi merupakan individu yang cukup lantang menghentam kerajaan perpaduan. Ini menyebabkan terbitnya rasa sangsi terhadap kredibiliti penguat kuasa undang-undang di negara ini.
Berkaitan Akta Hasutan yang dikenakan kepada Muhammad Sanusi, apa kata kita cuba singkap semula zaman pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri. Ketika itu banyak tohmahan mengatakan kerajaan beliau merupakan kerajaan ‘tebuk atap’ dan ‘pintu belakang’ kesan daripada ‘Langkah Sheraton.’ Adakah kenyataan itu juga boleh dianggap sebagai mempertikaikan titah Yang di-Pertuan Agong yang memperkenan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri?
Adakah ini juga bermakna kita boleh membuat laporan polis terhadap individu yang menyebut kerajaan ‘tebuk atap’ dan ‘pintu belakang’? Saya rasa individu tersebut patut juga didakwa atas Akta Hasutan kerana menderhaka kepada Yang di-Pertuan Agong.
Apa-apa pun, kita tunggu hari penentuan pada 12 Ogos nanti untuk melihat kehendak rakyat yang sebenarnya. Walaupun ini hanya melibatkan negeri dan tidak menjejaskan Persekutuan tetapi jika gelombang hijau sekali lagi berlaku seperti mana pada PRU15 tempoh hari, itu menandakan protes ini tidak boleh diambil mudah. PRN ini boleh dianggap penanda aras penerimaan kerajaan perpaduan di bawah kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.-UTUSAN
CIKGU JAMAL
Kuala Rompin, Pahang