SAUDARA PENGARANG,
PLATFORM semakan fakta yang menggabungkan ahli akademik, media dan masyarakat awam, JomCheck bersedia untuk mengesahkan kesahihan sesuatu maklumat menjelang sesi pengundian pilihan raya negeri (PRN) pada 12 Ogos ini.
Gabungan ditubuhkan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) itu berjaya mengesahkan fakta berdasarkan maklumat yang dihantar oleh orang awam ke talian mereka menerusi WhatsApp.
Berdasarkan rekod, JomCheck menerima lebih 120 maklumat daripada orang awam sepanjang PRU15 melibatkan aspek keselamatan, ekonomi, politik, maklumat umum, sentimen agama dan perkauman.
Terdapat potensi tinggi isu-isu ini juga akan dimanifestasikan semasa PRN kerana calon dan penyokong parti-parti politik cenderung untuk menerbitkan banyak bahan promosi diri, berkongsi manifesto masing-masing dan melemparkan kritikan terhadap pihak lawan sebagai sebahagian strategi berkempen.
Pada masa sekarang, keadaan dalam media sosial amat membimbangkan kerana seringkali bertindak sebagai medium penyebaran bagi maklumat tidak berasas dan mengelirukan.
Platform seperti Tiktok, Instagram dan Twitter memudahkan orang ramai untuk mencari maklumat dan mencipta kandungan, tetapi kemudahan ini akan mempercepatkan maklumat palsu tersebar.
Sekiranya maklumat palsu disebarkan, orang ramai akan menerima berita tidak tepat berbentuk tuduhan, pendapat atau propaganda yang berpotensi mempengaruhi keputusan mereka.
Oleh itu, penting untuk memiliki kemahiran literasi media sosial serta keupayaan menyemak fakta untuk membezakan antara maklumat yang benar dengan yang palsu.
Melalui JomCheck, masyarakat boleh menyemak fakta menerusi mesej WhatsApp ke talian 017-4776659. – UTUSAN
PROF. MADYA DR. SABARIAH MOHAMED SALLEH, Ketua Sekretariat JomCheck