SAUDARA PENGARANG,
KERETA adalah antara aset yang sering didahulukan untuk dibeli oleh kebanyakan individu yang mula melangkah ke alam pekerjaan kerana ia adalah mod pengangkutan utama dalam menjalani rutin harian sama ada untuk ke pejabat atau bagi aktiviti perniagaan dan sosial.
Sebab itu, bukan pelik apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan syarikat pengeluar kenderaan elektrik (EV), Tesla Inc. dari Amerika Syarikat (AS) memutuskan untuk membuka ibu pejabat serantau di Malaysia kerana syarikat itu tahu akan ada pembeli kereta jenis itu di negara ini dan rantau Asia Tenggara.
Langkah orang terkaya di dunia, Elon Musk melabur di negara ini melalui syarikatnya itu adalah satu perkembangan positif dalam industri automotif negara kerana ia seiring dengan perkembangan di negara-negara maju yang semakin serius untuk beralih ke segmen EV sepenuhnya.
Walaupun pihak Tesla Malaysia menafikan jumlah unit tempahan kenderaan utiliti sukan (SUV) Model Y yang digembar-gembur sebanyak 10,000 unit dalam tempoh beberapa hari pengumuman dibuat oleh Anwar, namun pihaknya memberi jaminan bahawa permintaan unit EV itu kukuh.
Model Y yang dijangka mula diserahkan kepada pelanggan pada awal tahun depan ditawarkan pada harga bermula daripada RM199,000.
SUV berkenaan yang boleh ditempah secara dalam talian adalah model EV paling laris di dunia dan menjadi antara kereta paling selamat di jalan raya.
Dalam pada itu, satu persoalan adalah bersediakah Malaysia untuk menerima perubahan ini? Sebenarnya ekosistem bagi membangunkan industri automotif negara telah bertapak sejak wujud Proton Holdings Berhad yang memperkenalkan model Saga pada 1985.
Peredaran masa dan perkembangan teknologi terlalu pantas sejak akhir-akhir ini dan penemuan baharu turut diaplikasi pada sistem kenderaan. Dahulunya, kenderaan hanya menggunakan petrol atau diesel untuk bergerak. Evolusi dunia automotif kini memperlihatkan kenderaan cekap tenaga atau EV mula mendapat permintaan tinggi di pasaran.
Pengalaman Proton terbabit boleh digunakan bagi membolehkan pelaburan Tesla dapat memberi impak besar dalam pembangunan negara dari sudut ekonomi, sosial, rantaian bekalan dan mewujudkan ribuan peluang kerja.
Industri EV boleh berkembang sejajar dengan kesedaran masyarakat dalam aspek penjagaan alam sekitar yang akan memilih kenderaan jenis itu.
Sudah tentu pembeli yang membeli EV memerlukan sokongan dari segi penyelenggaraan, alat ganti dan perlu terdapat mekanik mahir yang boleh menyelesaikan setiap permasalahan sekiranya berhadapan dengan situasi genting.
Oleh itu, pengusaha bengkel penyelenggaraan kenderaan disaran menaik taraf segala peralatan yang mereka ada bagi membolehkankan bengkel itu menyelenggara EV. Pada masa sama, mekanik perlu dihantar mengikuti kursus khas berkaitan EV agar tidak ketinggalan dalam arus perubahan.
Justeru, negara juga perlu meningkatkan bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi melahirkan ramai pekerja yang boleh menguasai kemahiran komputer dan sistem elektrik yang diguna pakai oleh EV.
Masyarakat juga perlu sedar akan kepentingan mengikuti pendidikan TVET yang akan melahirkan jurutera, separa jurutera, juruteknik dan tenaga mahir dalam industri EV agar ia tidak dikuasai oleh warganegara asing sepertimana di sektor-sektor lain.-UTUSAN
AMIRUL SALAM HASAN
Universiti Malaysia Terengganu (UMT)