SAUDARA PENGARANG,
PLATFORM media sosial sedikit sebanyak mengubah persepsi dan penglibatan anak muda dalam politik. Media sosial sedikit sebanyak membuka ruang dan pendedahan kepada pengundi muda terhadap keadaan politik negara lebih-lebih lagi Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang sentiasa ‘turun padang’ berinteraksi dengan golongan belia.
Usaha beliau membuka peluang kepada anak muda untuk mengemukakan pandangan berkenaan politik dan keadaan negara, sekali gus mempromosi pemerkasaan belia yang diangkap kingmaker melalui pendekatan media sosial. Dari sudut kerajaan, ini juga mungkin dikatakan sebagai membuka peluang untuk meningkatkan jumlah undi bagi pilihan raya melalui pelaksanaan Undi18.
Kita tidak boleh menafikan media sosial turut membantu pengundi muda seperti saya dalam mendapatkan maklumat tentang isu nasional dan politik negara. Pun begitu, kita perlu bijak menangkis berita palsu yang berlegar dengan meluas di laman sosial.
Dengan gaya hidup anak muda yang bergantung pada media sosial dalam mendapatkan maklumat, ini mungkin menjadi cabaran banyak pihak dalam membendung berita palsu yang boleh mengelirukan pembaca. Ini mungkin memberi cabaran kepada parti politik mahupun pihak seangkatan dengannya dalam membetulkan semua fakta yang telah diserongkan oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Selain itu, pembaca yang kurang arif dalam dunia politik juga terkesan lantaran hanya menerima berita disampaikan. Mereka tidak boleh dipersalahkan kerana mereka juga masih mencari arah dan realitinya tidak semua anak muda mampu secara konsisten melayari media sosial semata-mata demi pengetahuan politik dan isu nasional negara sebaliknya menggunakan platform ini bagi tujuan hiburan, berhubung dengan rakan alam maya dan sebagainya.
Hanya menjelang pilihan raya kita dapat lihat platform ini digunakan dalam mendapatkan maklumat tentang parti politik.
Jadi, dalam menetapkan had umur mengundi kepada 18 tahun ini, seharusnya sudah ada persediaan dilakukan oleh pihak tertentu.
Misalnya, memperkenalkan silibus yang memberi pendedahan kepada pelajar tentang sistem politik negara seperti diperkenalkan dalam subjek Pengajian Am bagi pelajar tingkatan enam.
Dengan pengetahuan sebegini, pengundi muda mungkin sudah matang dalam memanfaatkan media sosial sebagai rujukan alternatif dan tidak mudah tertipu dengan maklumat tidak benar.-UTUSAN
WAN NORMARINI FATINI
Universiti Teknologi Mara (UiTM)
Shah Alam