SAUDARA PENGARANG,
TAHNIAH kepada pasukan bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) yang berjaya menewaskan Kuala Lumpur City (KL City) dalam perlawanan akhir Piala FA yang berlangsung di Johor, baru-baru ini.
JDT dianggap pasukan pilihan sementara KL City sebagai underdog. Namun, dalam perlawanan tersebut, tentangan sengit pasukan pelawat menyebabkan tuan rumah terpaksa bekerja keras mencari gol.
Sekali sekala KL City memberi ancaman yang boleh menggugatkan hajat besar JDT. Sebagai penonton dari kaca televisyen, apa yang saya kecewa dan dikesalkan adalah masih terdapat pengulas sukan yang mengendalikan segmen perlawanan akhir tersebut terlalu menyebelahi pasukan JDT.
Ini menunjukkan pengulas tersebut tidak sensitif dengan penonton perlawanan yang inginkan ulasan lebih terbuka dan profesional sekali gus menjadikan suasana lebih mendebarkan.
Seingat saya, sering kali siaran langsung melibatkan JDT, pengulas-pengulas terlalu memihak pada pasukan Harimau Selatan itu. Adakah itu yang dimahukan oleh penonton televisyen?
Setahu saya, pihak pengurusan tertinggi stesen televisyen berkenaan telah menaik taraf kemudahan penyiaran dengan peralatan moden dan canggih.
Oleh itu, sudah tiba masanya peranan pengulas sukan juga dinaik taraf supaya dapat mempamerkan budaya kerja lebih profesional dengan ulasan lebih menarik dan mendebarkan.
Teringat semasa saya kecil dahulu yang sering kali mengikuti ulasan sukan di kaca televisyen seperti Shauki Kahar, Abdullah Hashim, Allahyarham Hasbullah Awang dan lain-lain lagi yang begitu berbakat.
Saya berharap pengulas sukan muda boleh mempelajari sesuatu daripada nama-nama tersohor ini yang masih meniti di bibir peminat sukan.
Ikuti juga pengulas sukan di negara-negara Barat yang cukup menjaga disiplin dan kredibiliti demi memastikan penyampaian cukup profesional. – UTUSAN
PEMINAT KL CITY, Putrajaya