SAUDARA PENGARANG,
SAYA ingin mengulas laporan Utusan Malaysia pada 21 Ogos lalu bertajuk Wartakan skop tugas guru yang memetik cadangan Pensyarah Kanan Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Anuar Ahmad supaya skop kerja guru mengikut gred masing-masing diwartakan secara hitam putih.
Ini supaya nanti mereka tidak lagi ‘diganggu’ dengan bebanan tugas di luar skop mengajar yang bukan tanggungjawab seperti dilantik sebagai urus setia menyambut orang kenamaan (VIP) melawat sekolah selain kerja-kerja memasukkan data bukan berkaitan murid.
Tugas guru bukan sahaja di sekolah tetapi turut terlibat dan dilantik dengan pelbagai jawatan di kampung atau taman perumahan.
Jadi, siapakah yang akan menggalas tugas dan memikul bebanan tugas guru kalau ia di luar skop mengajar? Jawapannya, pembantu pengurusan murid (PPM) yang diuar-uarkan tetapi sampai sekarang senyap sahaja.
Tugas memasukkan pelbagai data seperti melibatkan murid, markah peperiksaan dan sebagainya jika diberikan kepada pembantu tadbir, maka ramailah agaknya pembantu tadbir sakit jiwa dan berhenti awal.
Ini kerana tugas seperti mengurus kewangan sekolah dan hal pentadbiran pun sudah membebankan. Tambahan pula elaun tugas kewangan tidak diberi dengan gaji tidak setimpal.
Selain itu, jika ada majlis di sekolah, maka gurulah yang bertungkus lumus menjayakannya daripada mengecat, menyusun meja dan kerusi serta memastikan pengurusan murid berjalan lancar.
Disebabkan tuntutan hidup seperti keadaan sekarang, pihak sekolah menghadapi kurangnya penglibatan ibu bapa terutama gotong-royong.
Akibatnya, pihak sekolah akan memikul bebanan untuk memastikan program tersebut berjaya walaupun kurang kerjasama ibu bapa. Tidakkah ini menambah beban guru?
Daripada mengajar di dalam kelas, bertukar menjadi tukang kebun, menjadi tukang rumah dan sebagainya.
Ada juga guru menjadi pegawai pemeriksa aset sekolah untuk memastikan peralatan sekolah berada dalam keadaan baik dan sudah tentulah menuntut komitmen dan kesungguhan untuk memeriksa, mengira dan menilainya.
Sesetengah guru juga menjadi pegawai kesihatan dan wajib melaporkan tahap pembiakan nyamuk aedes dengan mengisi borang setiap bulan. Jika berlaku kes demam denggi di sekolah, tentulah guru terbabit tidak senang duduk.
Inilah serba sedikit cabaran dan bebanan tugas guru di luar skop mengajar. Guru terpaksalah akur kerana arahan pentadbiran walaupun kadang-kadang terpaksa mengorbankan tugas hakiki.
Bagi saya, Kementerian Pendidikan (KPM) perlu mewartakan tugas guru secara jelas, betul dan adil. Langkah ini penting agar tugas diberikan kepada seseorang guru itu tidak mengganggu tugas hakiki.
Yang penting KPM perlu segera mewujudkan jawatan PPM supaya dapat membantu guru melaksanakan tugas di luar skop mengajar jika diarahkan. – UTUSAN
BEKAS GURU, Temerloh, Pahang