SAUDARA PENGARANG,
SELEPAS bertahun-tahun sejak penubuhan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 1945, ramai mula berdebat sama ada pertubuhan itu akan mengulangi kesilapan yang sama dilakukan oleh Liga Bangsa-Bangsa, lebih-lebih lagi kelemahannya sebagai organisasi pengaman dan perhubungan diplomatik dalam isu antarabangsa dilihat gagal.
Kegagalan pertama PBB adalah kekurangan penguatkuasaan resolusi. Tujuan utama resolusi adalah untuk menyelesaikan dan menangani konflik yang berlaku di antara satu negara dengan negara lain dan masalah antara sesebuah negara dengan rakyatnya.
Kebelakangan ini berlaku pelbagai pelanggaran resolusi oleh negara anggota dan PBB hanya mengecam perbuatan tersebut tanpa ada tindakan ketara seperti konflik antara Israel dan Palestin.
Tindakan ini jelas melanggar Resolusi 1860 (2009) dan Resolusi 2334 (2016). Seperti dijangka, PBB pada 2022 dalam Resolusi 77/247 hanya mengesahkan semula dan memanggil semula semua resolusi yang dilanggar tanpa sebarang langkah diambil untuk benar-benar menyelesaikan isu tersebut.
Kegagalan menjaga keamanan dunia adalah kegagalan kedua PBB. Dalam memahami konteks ini, kuasa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) dalam organisasi ini harus difahami terlebih dahulu.
Semua ahli tetap UNSC iaitu Amerika Syarikat, United Kingdom, Russia, Perancis, dan China mempunyai kuasa veto dalam sebarang resolusi yang dibentangkan kepada mereka dan selalunya kuasa veto digunakan untuk kepentingan mereka sendiri.
Contohnya, Kesatuan Republik Sosialis Soviet (USSR) merupakan yang pertama menggunakan kuasa veto untuk menyekat kemasukan Sepanyol ke dalam PBB kerana mereka takut negara itu akan mengukuhkan blok Barat semasa Perang Dingin.
Perkara terakhir untuk membuktikan kegagalan PBB ialah skandal dan rasuah yang berlaku dalam organisasi tersebut. Rasuah terbesar yang berlaku ialah inisiatif Program Minyak untuk Makanan di Iraq yang dimanipulasi oleh bekas Presidennya, Saddam Hussein dengan bantuan beberapa pegawai PBB menyeludup minyak keluar dari negara itu untuk dijual kepada syarikat swasta.
Secara ringkasnya, PBB gagal sebagai sebuah badan yang bersumpah untuk melindungi dunia selain turut gagal mencapai matlamat utamanya iaitu mengekalkan keamanan dunia melalui cara aman.
Selagi masa bergerak, kegagalan PBB akan mencerminkan pendahulunya, Liga Bangsa-Bangsa seperti yang dipetik oleh Voltaire (penulis dari Perancis), sejarah tidak pernah berulang, manusia sentiasa mengulanginya. – UTUSAN
MUHAMMAD IMAN HAKIM ABDUL RAHMAN, Seri Kembangan, Selangor