SAUDARA PENGARANG,
DALAM era teknologi masa kini, hampir semua jenis pekerjaan menggunakan peralatan elektrik termasuk peranti. Yang selalu digunakan adalah komputer, telefon pintar, mesin fotostat atau pengimbas dan sebagainya.
Namun, terdapat risiko terhadap penggunaan peralatan elektrik berkenaan sekirannya tidak melakukan penilaian risiko secara berskala.
Pengguna boleh terkena kejutan elektrik dan melecur selain kecederaan akibat pendedahan kepada arka (apabila elektrik melompat dari satu litar ke litar lain). Bahkan penggunaan peralatan atau pemasangan elektrik yang rosak boleh menyebabkan kebakaran dan letupan akibat peralatan tidak sesuai.
Malah pendawaian palam yang tidak betul juga boleh membawa kepada kemalangan maut atau kebakaran.
Jadi, penilaian risiko perlu dilakukan dengan mengambil kira semua jenis peralatan elektrik, cara ia digunakan dan persekitaran sama ada basah atau berdebu.
Selain itu, menjadi tanggungjawab syarikat untuk sentiasa memastikan peralatan dan pemasangan elektrik di tempat kerja diselenggara bagi mengelakkan bahaya.
Pengguna peralatan elektrik termasuk perkakas mudah alih hendaklah diperiksa setiap kali selepas digunakan.
Pembaikan dan ujian barangan elektrik hanya perlu dilakukan oleh orang yang cekap, mempunyai kemahiran, pengetahuan dan pengalaman dalam bidang elektrik.
Pun begitu, adalah lebih baik jika syarikat boleh pastikan pekerja mengetahui cara menggunakan peralatan elektrik dengan selamat.
Untuk setiap hari, majikan boleh pastikan soket mencukupi selain memeriksa sama ada alur keluar soket tidak dibebankan dengan menggunakan penyesuai tidak bercantum kerana ini boleh menyebabkan kebakaran.
Majikan juga perlu pastikan pemeriksaan hendaklah dibuat di sekeliling pejabat dan ingat bahawa kabel elektrik mungkin berada di dalam dinding, lantai dan siling.
Sementera setiap pekerja sebelum memulakan kerja boleh pastikan tiada kabel mengekor yang boleh menyebabkan orang tersandung atau terjatuh selain menyemak tanda-tanda amaran bahaya daripada elektrik atau sebarang bahaya lain.
Selain itu, lakukan juga pemeriksaan dan penyelenggaraan suis voltan tinggi atau pengubahsuaian sistem kawalan bagi mengelakkan penggunaan elektrik tidak melebihi had voltan dalam sesebuah syarikat.-UTUSAN
BULBIR SINGH
Bekas Presiden Persatuan
Pengguna Negeri Sembilan