Papan tanda jalan menyusahkan pemandu

Papan tanda jalan menyusahkan pemandu

ISU berkaitan papan tanda jalan tidak asing lagi dan ia perlu diselaraskan di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT) atau Jabatan Kerja Raya (JKR).
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

BEBERAPA akhbar tempatan menerbitkan artikel mengenai papan tanda jalan yang usang, kotor, tulisan tidak jelas dan sebagainya, beberapa bulan lalu. Ini adalah realiti apa yang sebenarnya berlaku di negara kita.

Antara masalah lain berkaitan papan tanda jalan ialah maklumat tidak tepat. Contohnya, semasa perjalanan, kita menjumpai papan tanda jalan menunjukkan 10 kilometer (km) untuk sampai ke sesuatu destinasi tetapi apabila membelok pada simpang susur keluar (selepas memandu sejauh 10 km), satu lagi papan tanda menunjukkan 5 km ke arah lokasi sama.

Tanda jalan sebegini agak pelik kerana seolah-olah belum sampai ke bandar berkenaan dan mungkin sepatutnya lebih tepat ditulis 5 km ke pusat bandar. Tidak perlu diulangi ayat sama di lokasi lain dengan jarak berbeza kerana ia mengelirukan.

Sering juga terjumpa papan tanda yang terlindung dan tertutup oleh objek lain seperti dahan dan daun pokok. Sepatutnya pokok-pokok ditepi jalan sentiasa diselenggara dengan lebih kerap agar tidak menyusahkan pengguna jalan raya terutama pemandu dari luar kawasan yang pertama kali melalui jalan tersebut. Lebih pelik, ada juga papan tanda yang terselindung di sebalik bangunan atau tiang Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Telekom Malaysia Berhad (TM) dan lain-lain.

Di samping itu, terdapat juga papan tanda yang terlalu banyak di sesuatu lokasi seperti di persimpangan penting. Contohnya, terdapat lebih 10 papan tanda kecil berdekatan antara satu dengan lain berkaitan perkara berlainan.

Sepatutnya susunan atau kedudukan papan tanda diselaraskan di bawah pengurusan pihak berkuasa tempatan (PBT) atau Jabatan Kerja Raya (JKR) melalui kerjasama pihak yang ingin membuat iklan atau tanda arah supaya tidak menyukarkan pemandu dan ia kelihatan lebih tersusun.

Diharap pihak bertanggungjawab seperti JKR dan PBT lebih peka tentang isu ini yang sebenarnya sudah lama berlaku di negara ini.-UTUSAN

TEROPONG DO RE MI
Setapak, Kuala Lumpur

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya