SAUDARA PENGARANG,
BARU-BARU ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menzahirkan kebimbangan berkaitan isu penagihan dadah. Ini kerana lebih sejuta orang dilaporkan terjerumus dalam kancah najis dadah. Daripada jumlah itu juga, sebanyak 328,640 adalah mereka yang berumur antara 15 hingga 29 tahun.
Justeru, menjadi tanggungjawab semua pihak termasuk ibu bapa, masyarakat serta institusi pendidikan menjalin kerjasama bagi membanteras musuh utama negara ini.
Ibu bapa berperanan mendisiplin dan mengawasi anak-anak memandangkan bekalan dadah boleh didapati dengan mudah melalui platform media sosial seperti aplikasi WeChat dan TikTok. Sindiket pengedaran dadah bebas mengiklan dan merekrut pengguna melalui aplikasi tersebut. Oleh itu, sama ada mereka suka atau tidak, ibu bapa mesti celik teknologi maklumat (IT) untuk mengawasi aktiviti dalam talian anak-anak.
Selain itu, ibu bapa tidak seharusnya mempunyai sindrom penafian apabila mendapati anak mereka terlibat dalam penyalahgunaan dadah. Mereka mesti segera merujuk ke hospital untuk mendapatkan rawatan atau dirujuk kepada Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK). Intervensi awal boleh menghalang mereka daripada terjerumus lebih dalam ke lembah najis dadah.
Jika berdiam diri dan menutup kesalahan anak, ia dikhuatiri hanya akan menyebabkan ketagihan yang bertambah teruk malah wujud kemungkinan anak terlibat dalam tingkah laku yang lebih serius seperti mencuri, merompak atau membunuh.
Sementara masyarakat pula perlu memberi sokongan dalam membuang stigma negatif dalam diri mereka agar bekas penagih dadah sentiasa kekal positif dan bersemangat untuk mengelak daripada terlibat dalam gejala negatif ini.
Selain itu, masyarakat setempat boleh memainkan peranan penting dengan melaporkan kepada pihak berkuasa tentang sebarang aktiviti penyalahgunaan dadah di kawasan komuniti masing-masing. Not me syndrome harus dielakan agar kawasan kejiranan bebas daripada amalan buruk ini.
Selain itu, institusi pendidikan berperanan menerapkan budaya belia benci dadah melalui kempen berterusan ataupun pengenalan mata pelajaran pencegahan dadah untuk memastikan pelajar terdedah awal kepada keburukan pengambilan dadah. Selain itu, barisan pendidik perlu meningkatkan ilmu dan kemahiran dalam mengenal pasti punca permasalahan pelajar sehingga terjerumus dengan najis dadah.-UTUSAN
DR. MOHAMAD HALIM MOHAMAD SHARIFF
Universiti Teknologi Mara (UiTM)
Cawangan Pulau Pinang
Kampus Bertam