SAUDARA PENGARANG,
PERSATUAN Kontraktor Perkhidmatan Pencucian Malaysia (MACC) memandang serius isu pekerja pembersihan ‘teraniaya.’
Terbaharu, piket pekerja-pekerja pembersihan hospital di Teluk Intan, Perak membabitkan isu sama. Kebiasaannya kontraktor pembersihan yang akan dipersalahkan.
Saya yakin masih banyak kontraktor pembersihan yang bertanggungjawab dengan membayar gaji pada masa ditetapkan, mencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) dan Dana Pembangunan Sumber Manusia (PSMB).
Pekerja juga diberikan cuti tahun dan cuti sakit bergaji, bahkan disediakan latihan dari semasa ke semasa.
Terdapat badan berkanun mencadangkan kadar harga kontrak seorang pekerja termasuk bahan, perkakas, peralatan dan kos-kos lain kurang daripada RM2,000 sebulan.
Walaupun gaji minimum pekerja ialah RM1,500 sebulan, kos pekerja sebenar yang ditanggung oleh majikan adalah RM1,770 termasuk caruman KWSP, Perkeso, SIP, PSMB dan lapan hari cuti tahun bergaji berjumlah RM270 sebulan.
Secara purata kos untuk bahan kimia, perkakas dan peralatan, susut nilai mesin, kos-kos lain serta untung kasar adalah antara 15 hingga 20 peratus daripada harga kontrak.
Ini bermakna harga kontrak paling rendah yang munasabah adalah RM2,211.54. Sekiranya kontrak ditawarkan kepada di bawah RM2,000, bermakna kontraktor terpaksa mengorbankan caruman KWSP, Perkeso, SIP dan PSMB pekerja.
Di samping itu, pekerja tidak diberikan cuti tahun dan cuti sakit bergaji, untuk meraih sedikit keuntungan.
Keuntungan yang sedikit ditambah dengan bayaran yang lewat daripada kerajaan, kadangkala sehingga enam bulan menyebabkan kontraktor tidak mampu membayar gaji pekerja pada masa ditetapkan.
Sudah sampai masanya untuk kerajaan menetapkan kadar harga minimum kontrak pencucian yang lebih munasabah bagi mengelak pekerja pembersihan terus teraniaya.
Walaupun pelaksanaan kontrak pembersihan berdasarkan prestasi tidak menyatakan bilangan pekerja yang diperlukan, asas penetapan harga masih berdasarkan kepada bilangan pekerja diperlukan.
Kontraktor diberi kebebasan untuk menggunakan teknologi bagi mengurangkan tenaga pekerja. Dalam hal ini, kos pekerja turun tetapi kos peralatan dan mesin meningkat.
Dalam situasi persaingan harga yang berlaku dan pemilihan kontraktor berdasarkan harga terendah, latihan untuk pekerja akan terus terabai.
Matlamat untuk meningkatkan kualiti pembersihan melalui pekerja terlatih di samping mereka memperoleh pendapatan lebih tinggi akan tersasar.
MACC mencadangkan langkah awal untuk pelaksanaan kontrak berdasarkan prestasi ialah penetapan harga minimum yang munasabah bagi kontrak pembersihan.
Ini akan membantu meningkatkan prestasi pekerja pembersihan melalui latihan mencukupi, gaji lebih tinggi dan tiada penganiayaan. Melalui pekerja terlatih dan mahir, kualiti kebersihan akan meningkat.
Seterusnya menjadikan negara lebih bersih dan mampu menarik bukan sahaja pelancong asing bahkan pelabur-pelabur asing kerana yakin aset mereka akan terpelihara. – UTUSAN
NORUDDIN IDRIS, Presiden Persatuan Kontraktor Perkhidmatan Pencucian Malaysia (MACC)