SAUDARA PENGARANG,
IBU bapa dan pelajar pada era ini memandang pendidikan sebagai jalan terbaik untuk menikmati kehidupan mewah sehingga hujung hayat.
Kebanyakan ibu bapa mahu anak mereka sekurang-kurangnya bekerja dalam sektor kerajaan, menjadi pengurus syarikat atau memiliki perniagaan besar.
Pelajar juga tidak terkecuali daripada mempunyai pemikiran seperti ini. Bahkan ia dikuatkan lagi dengan pandangan bersifat stereotaip ibu bapa yang lebih menggemari anak-anak mereka menceburi bidang perubatan, undang-undang dan kejuruteraan yang dianggap pekerjaan berstatus tinggi.
Walaupun pemikiran seperti ini tidak salah dan dalam masa sama kita tidak boleh menafikan kepentingan keperluan wang ringgit, tetapi perlu diingatkan bahawa tujuan utama pendidikan itu tidak akan tercapai jika mereka yang menuntut ilmu hanya berniat sekadar mahu mengejar wang semata-mata dalam hidup.
Sikap ini berpunca daripada tabiat sering membandingkan harta dan kejayaan yang dimiliki dengan orang lain. Jika berterusan sebegini, mereka akan menjadi hamba duit.
Justeru, konsep pendidikan sebenar perlu dipupuk dengan memastikan pelajar mendalami ilmu pengetahuan dan menghargai nilai ilmu itu sendiri.
Kita tidak mahu anak-anak yang bakal mewarisi negara ini terus menerus menunjukkan keruntuhan masyarakat dari segi pendidikan.
Oleh itu, gaya pemikiran masyarakat terhadap belajar untuk kaya perlu diubah kepada belajar untuk ilmu supaya pemahaman nilai ilmu dapat disemaikan dalam kalangan generasi baharu bagi mengukuhkan institusi masyarakat. Jika tidak, kejatuhan tamadun adalah perkara yang tidak boleh dielakkan.-UTUSAN
MUHAMMAD IMAN HAKIM ABDUL RAHMAN
Seri Kembangan, Selangor