SAUDARA PENGARANG,
SIKAP batu api yang berterusan dalam kalangan ahli politik sama ada dari parti sama atau berbeza amatlah merugikan. Ia hanya menyebabkan perpecahan dalam masyarakat dan mengaburkan tujuan sebenar politik yang sepatutnya membantu rakyat dan negara.
Walaupun perbezaan pendapat adalah normal dalam demokrasi, namun jika berubah menjadi serangan peribadi dan perpecahan yang disengajakan, ia hanya akan melemahkan institusi politik dan keyakinan rakyat terhadap sistem ini.
Lebih baik memberi ruang kepada mereka yang memegang kuasa untuk menjalankan tugas tanpa gangguan tidak perlu. Ini akan memberi peluang kepada pihak yang menang untuk membuktikan kebolehan dalam memenuhi janji dan mencari penyelesaian bagi masalah rakyat. Sementara itu, pihak yang kalah perlu berintrospeksi dan menilai semula strategi serta tindakan mereka.
Masyarakat sudah mula jemu dengan tindakan ahli politik yang lebih tertumpu kepada perbalahan daripada menjalankan tanggungjawab. Permainan politik berlarutan hanya akan mengaburkan isu-isu sebenar yang perlu diselesaikan seperti ekonomi, pendidikan, kesihatan dan lain-lain. Ini bukan sahaja merugikan rakyat, malah merosakkan imej politik negara.
Yang lebih penting, ahli politik yang terpilih harus sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat berbanding kepentingan peribadi atau parti. Mereka harus faham bahawa tanggungjawab mereka adalah untuk memastikan kesejahteraan rakyat dan membawa penyelesaian kepada masalah dihadapi masyarakat. Ia bukanlah platform untuk menghasilkan skrip drama politik semata-mata untuk hiburan.
Jadi, penting untuk menghentikan budaya mengadu domba dan membakar semangat perpecahan dalam kalangan ahli politik. Kita perlu bergerak ke arah politik lebih matang serta berfokus kepada pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat. Ini akan memastikan kedaulatan sistem politik kita sekali gus meningkatkan kepercayaan rakyat terhadap pemimpin.-UTUSAN
AZIZUL RAHMAN ABD. RAHMAN
Parit Sulong, Johor