Miskin punca ramai lepasan SPM tidak sambung belajar - Utusan Malaysia

Miskin punca ramai lepasan SPM tidak sambung belajar

MUNGKIN ada kebenaran di sebalik dakwaan ramai lepasan SPM tidak berminat sambung belajar kerana ingin mendapatkan pulangan lumayan dengan cara mudah. – GAMBAR HIASAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

BARU-BARU ini, tular dalam media sosial anak-anak muda bermodalkan kapal terbang sewa yang sama bagi mempamerkan bahawa mereka mampu hidup mewah bagi menarik orang ramai menyertai skim pelaburan yang ditawarkan.

Perkara itu terbongkar setelah perbandingan dengan beberapa video lain menunjukkan kapal terbang sama telah disewa dan penggambaran dilakukan di tempat sama.

Klip-klip video sebegini jika tidak disekat akan mempengaruhi anak-anak muda sehingga tidak berminat lagi untuk belajar.

Mereka hanya ingin mendapatkan pulangan lumayan dengan mudah seperti menjadi pempengaruh media sosial dan pengasas pelbagai produk kosmetik. Ya, mungkin itu antara alasan untuk tidak menyambung pelajaran.

Namun, adakah itu jalan yang terbaik? Nampaknya ada yang berpendapat ia terbaik. Ini seperti didedahkan media massa baru-baru ini bahawa ramai calon bumiputera menolak tawaran ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

Jumlah ini merangkumi data selama tiga tahun berturut-turut, iaitu dari 2020 hingga 2022 dengan trend peningkatan yang amat ketara iaitu seramai 39,910 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang menolak tawaran ke IPTA pada 2020 kepada 73,431 (2022).

Sampai bila generasi muda kita harus dikhayalkan dengan perkara sebegini yang sama sekali jelas hidup dalam penuh kepalsuan dan tidak bernafas di alam sebenar?

Mungkin juga mereka hanya akan sedar dengan dunia realiti apabila melihat lambakan graduan yang melanjutkan pengajian di peringkat tinggi malah sehingga ke peringkat ijazah doktor falsafah (PhD), namun selama bertahun-tahun tidak mendapat pekerjaan yang sesuai dengan taraf kelayakan akademik mereka.

Mungkin ada kebenaran di sebalik dakwaan ramai tidak berminat belajar dan ingin mendapatkan pulangan lumayan dengan mudah, namun bagi saya tidak semua orang yang menolak untuk menyambung pelajaran berfikiran sebegitu.

Ini kerana ada dalam kalangan mereka berbuat demikian kerana faktor-faktor lain termasuk kemiskinan. Untuk mengatasi masalah ini, terdapat pelbagai bantuan kewangan ditawarkan.

Antaranya bantuan zakat untuk pendidikan. Perluasan tafsiran asnaf terutamanya dalam kelompok penerima­ fi sabilillah (berjuang di jalan Allah) kini bukan hanya berlegar kepada mereka yang berperang.

Tetapi terbuka luas kepada pelajar yang mengikuti pengajian bersifat keperluan semasa seperti perakaunan, perubatan dan kejuruteraan.

Langkah proaktif pelbagai institusi zakat di negara ini mewujudkan saluran permohonan secara dalam talian bagi mereka yang memerlukan bantuan zakat adalah langkah bertepatan dengan keperluan dan realiti pada masa kini.

Dengan adanya kaedah tersebut, pemohon tidak lagi perlu mengisi pelbagai borang yang rumit dan memerlukan belanja yang besar bagi kos pengangkutan untuk ke pusat zakat.

Terdapat juga pihak universiti yang menjalinkan kerjasama strategik dengan institusi zakat di negeri yang sama bagi manfaat penuntut mereka.

Selain itu, langkah turun padang bagi mengenal pasti mereka yang kurang berkemampuan tetapi cemerlang dalam akademik untuk disalurkan agihan zakat pendidikan adalah baik.

Mungkin masih terdapat pelbagai kerenah birokrasi sewaktu proses permohonan ini, namun hakikatnya transformasi yang dilakukan oleh pelbagai institusi zakat ini seharusnya disokong dan diberikan pujian. – UTUSAN

PENSYARAH UNIVERSITI, Pulau Pinang

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya