SAUDARA PENGARANG,
PELAKSANAAN Menu Rahmah amat murni kerana ia menyediakan makanan pada harga murah kepada orang ramai khususnya golongan berpendapatan rendah dan sederhana tetapi sesetengah peniaga mengambil kesempatan terhadap inisiatif kerajaan itu.
Ini disebabkan ada sesetengah peniaga atau industri menggunakan perkataan Rahmah untuk memotong harga (diskaun) dalam sesuatu tempoh atau pada masa promosi sahaja dan keadaan ini tidak memberi sebarang kesan kepada pengguna kecuali kekeliruan.
Disaran pelaksanaan Menu Rahmah ditambah baik mengikut jejak langkah syarikat penerbangan AirAsia yang ditubuhkan untuk menyediakan penerbangan tambah murah yang berjaya dan dicontohi di seluruh dunia. Tambang murah dapat dilaksanakan dengan memotong koskos yang tidak penting. Sasarannya ialah pasaran yang luas.
Begitu juga dalam hal Menu Rahmah ini apabila ada kos-kos yang tidak perlu dipotong. Pengguna tidak memerlukan premis untuk makan di kedai atau tempat bersantai, tiada pelayan, makanan yang disediakan dalam kotak atau bekas dan boleh dimakan di rumah, pejabat, sekolah, universiti dan tempat rehat awam. Ini bermakna kos pekerja dan kedai dapat dikurangkan.
Sementara peniaga hanya perlu fokus pada kos bahan mentah. Untuk menyediakan sepinggan nasi dengan seketul ayam atau ikan seberat 150 gram serta sayur adalah RM2.80. Untuk mendapat keuntungan sasaran mesti ditetapkan pada sekurangkurangnya 500 pinggan nasi meliputi sesuatu lokaliti.
Bagi memastikan kelangsungan idea terbaik oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub, sebuah atau beberapa syarikat besar yang mendapatkan kepercayaan orang ramai dilantik untuk tujuan ini.
Untuk terus mengekalkan harga sesuatu makanan pada harga Rahmah, maka pesanan boleh dibuat secara dalam talian melalui platform disediakan oleh syarikat yang dilantik.
Cara ini juga dapat menjamin kualiti makanan dan perkhidmatan disediakan peniaga melalui audit dilakukan. Maka, peniaga tidak sewenang-wenangnya mengambil kesempatan memanipulasi inisiatif Menu Rahmah.-UTUSAN
MOHAMED YUSUFF YAHYA
Batu Gajah, Perak