SAUDARA PENGARANG,
PERJANJIAN Lausanne ialah perjanjian damai ditandatangani pada 24 Julai 1923 antara kerajaan Uthmaniyah dengan Kuasa Bersekutu diwakili British, Perancis, Itali dan beberapa negara lain selepas berakhirnya Perang Dunia Pertama (1914-1918) dan Perang Kemerdekaan Turkiye (1919-1923).
Nama Lausanne adalah sempena tempat berlangsungnya persidangan yang membawa kepada termeterainya perjanjian ini di Switzerland.
Tahun ini genap 100 tahun Perjanjian Lausanne ditandatangani. Perjanjian ini jelas memberi kesan penting bukan sahaja terhadap kedudukan politik dan sempadan rantau Asia Barat tetapi lebih penting lagi kepada Turkiye dari segi kemerdekaan, kedaulatan dan sempadan selepas berakhirnya era kerajaan Uthmaniyah.
Lima kesan utama Perjanjian Lausanne kepada Turkiye dan rantau Asia Barat, antaranya membawa kepada kejatuhan kerajaan Uthmaniyah dan institusi khalifah sejak diasaskan sekitar 1299; menamatkan jawatan khalifah di Turkiye; penubuhan negara-negara baharu dalam peta rantau Asia Barat selepas kejatuhan kerajaan Uthmaniyah seperti Iraq, Jordan, Palestin, Syria dan Lubnan.
Selain itu, perjanji ini juga membawa kemunculan Republik Turki pada 1923, diikuti pengesahan Barat terhadap kedaulatan negara tersebut dan berjaya membentuk sempadan negara Turki moden pada hari ini, khususnya dengan negara-negara jiran seperti Greece, Itali, Syria dan Iraq.
Selepas kekalahan kerajaan Uthmaniyah dalam Perang Dunia Pertama, Turkiye perlu menerima persempadanan baharu ditetapkan oleh Kuasa Bersekutu. Antara perubahan sempadan ialah Turkiye menerima wilayah timur Thrace yang bersempadan dengan Greece. Greece pula memperoleh sebahagian besar Kepulauan Aegean kecuali Gokceada dan Bozcaada. Itali memperoleh 12 pulau di sekitar Kepulauan Aegean.
Turkiye juga berjaya memperoleh wilayah Izmir. Pada masa sama, Turkiye kehilangan Mosul yang kemudiannya menjadi sebahagian wilayah Iraq.
Jatuh bangun sesebuah kerajaan tentunya satu rahsia Allah SWT. Namun, menjadi tanggungjawab kita untuk mencedok pengajaran tersurat dan tersirat daripada peristiwa tersebut demi mencari hikmahNya yang tersembunyi.-UTUSAN
DR. ABU HANIFAH HARIS
Jabatan Sejarah, Fakulti Sastera & Sains Sosial
Universiti Malaya