Masih adakah rumah kos rendah di negara ini? - Utusan Malaysia

Masih adakah rumah kos rendah di negara ini?

HARGA kediaman meningkat lebih besar berbanding peningkatan pendapatan isi rumah. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

DALAM memperjuangkan hak perumahan bagi semua maka kerajaan perlu meneliti pelbagai isu yang berbangkit antaranya adalah jurang yang semakin membesar antara pertumbuhan gaji dan pertumbuhan harga rumah.

Didapati bahawa pendapatan isi rumah meningkat sebanyak 11.7% manakala harga rumah meningkat lebih besar iaitu sebanyak 26.5%.

Satu lagi persoalan adalah meskipun harga rumah telah meningkat dengan ketara, data yang sedia ada menunjukkan bahawa kos pembinaan rumah, iaitu kos tenaga kerja, bahan-bahan binaan, mesin, perkakas dan peralatan, mengalami peningkatan yang kecil.

Jurang ini membangkitkan persoalan berkenaan margin keuntungan pemaju dan kemungkinan bahawa wujudnya eksploitasi terhadap rakyat marhaen dan golongan pekerja yang memerlukan perumahan mampu milik.

Dalam pada itu, Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC) baru-baru ini telah menyatakan jumlah rumah yang tidak terjual telah menunjukkan penurunan ke 29,534 unit pada suku ketiga 2022 berbanding 34,092 unit pada tahun sebelumnya.

Walaupun ini adalah berita yang baik, kebanyakan daripada unit tidak terjual ialah perumahan berharga antara RM500,000 – RM1 juta, menunjukkan bahawa penurunan ini didorong oleh pembelian rumah oleh kelas menengah atas dan golongan berpendapatan tinggi (T20).

Selain itu, NAPIC juga telah menyatakan bahawa stok rumah tidak terjual bagi kediaman di bawah harga RM300,000 adalah 23.5% lantas membangkitkan persoalan sama ada perumahan tersebut benar-benar mampu dimiliki oleh rakyat marhaen dan golongan pekerja.

Hakikatnya, ramai antara mereka hanya mampu menyewa. Sebagai contoh, 29.2% isi rumah di Selangor menyewa pada 2019. Bagi isi rumah golongan berpendapatan rendah (B40) di Selangor, 47.5% menyewa pada tahun yang sama.

Isu lain adalah didapati dasar perumahan negara dilihat semakin tidak peka terhadap hakikat kehidupan rakyat biasa. Sebelum tahun 2012, dasar perumahan negara menekankan aspek kos rendah dalam kategori perumahan dalam dasar negara.

Ini secara langsung menyediakan kerangka dasar yang lebih mesra rakyat. Misalnya, paras harga perumahan kos rendah pada 2000 adalah RM42,000.

Namun, sejak 2012, istilah mampu milik digunakan sebagai kategori perumahan yang paling rendah dan ambang mampu milik pada ketika itu ditetapkan antara RM100,000 sehingga RM300,000.

Perkara ini juga boleh dilihat dalam dasar Rumah Selangorku 2.0 di mana had maksimum ‘mampu milik’ diletakkan pada harga RM250,000. Hanya dua projek di bawah dasar ini yang menyediakan perumahan berharga antara RM42,000 hingga RM100,000.

Dengan penjenamaan baharu ini, iaitu dari kategori rumah kos rendah kepada rumah mampu milik ini, maka kuota pembangunan perumahan kos rendah telah dikurangkan secara mendadak, iaitu dari 30% kuota perumahan kos rendah (dahulu) ke sekitar 10% – 20% rumah Selangorku Jenis A berharga RM42,000.

Apa sudah jadi dengan rumah kos rendah? Rumah dengan harga antara RM42,000 dan RM100,000? Persoalan-persoalan di atas berbangkit kerana wujudnya peningkatan pengaruh pasaran untuk membina rumah bukan kos rendah yang tidak diimbangi dengan aspek keadilan sosial.

Tanggungjawab kerajaan yang mesra rakyat adalah untuk menekankan perumahan sebagai hak sosial. – UTUSAN

SIVARAJAN ARUMUGAM, Kuala Lumpur

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya