Majikan perlu sedia bilik kebal kedap bunyi

Majikan perlu sedia bilik kebal kedap bunyi

MAJIKAN perlu menyediakan bilik kebal kedap bunyi untuk kakitangan yang mengalami tekanan kerja melepaskan perasaan. – UTUSAN/MOHD. FARIZWAN HASBULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

PROSES pengiraan undi dan pengumuman keputusan rasmi pilihan raya negeri (PRN) baru-baru ini memang mendebarkan dan menyeksakan.

Kepada petugas media massa, mereka perlu menyediakan laporan berita termasuk juga analisis, untuk disiarkan keesokan harinya ataupun pada hari yang sama.

Kerana perlu memenuhi tarikh akhir yang ditetapkan. Keadaan diri petugas media massa menjadi tidak terurus, makan minum tidak menentu, solekkan telah cair, tudung senget sebelah, rambut jadi serabai dan baju pun mungkin sudah lepas keluar.

Dalam keadaan sedemikian, sering kali petugas media massa dan pekerja lain akan mengalami stres atau tekanan. Sikap dan sifat asal telah berubah.

Asalnya seorang pendiam, tetapi disebabkan stres, mungkin tiba-tiba dia bercakap seorang diri tanpa henti menggunakan bahasa yang tidak dapat diterjemahkan oleh pakar bahasa, aplikasi Google Translate mahupun ChatGPT.

Ada pula yang asalnya sopan santun dan lemah lembut, namun kerana mengalami tekanan, sikapnya berubah menjadi pemarah. Yang lebih bahaya, jika ada yang melepaskan geram ketika memandu kereta atau menunggang motosikal di jalan raya.

Justeru, saya ingin mencadangkan kepada majikan untuk menyediakan bilik kebal yang kedap bunyi di bangunan pejabat untuk kakitangan yang mengalami tekanan kerja melepaskan serta membebaskan segala apa yang terbuku di hati dan membarah di otak.

Sediakan di dalam bilik itu alatan untuk mengetuk seperti set dram, tong besi, baldi dan kayu pengetuk bagi mereka yang ingin melepaskan tekanan dengan cara mengetuk atau memukul.

Kepada yang suka menumbuk dan menendang, sediakan beg tumbuk untuk mereka melepaskan kemarahan. Kepada yang suka membaling, sediakan ruang khas dalam bilik tersebut dengan jaring keselamatan di sekelilingnya.

Ada juga yang suka mendengar muzik keras, seperti genre heavy metal dengan kuat untuk melepaskan tekanan.

Untuk itu, sediakan satu set sistem audio dengan speaker berkuasa besar pada satu sudut untuk dia layan. Kepada yang suka menjerit, sediakan air minuman secukupnya sahaja.

Pihak pengurusan boleh memikirkan dan mempertimbangkan kaedah melepaskan tekanan atau stres yang lain. Mereka perlu juga memantau tempoh masa seseorang kakitangan berada di dalam bilik tersebut.

Pihak pengurusan juga boleh menyewakan bilik melepaskan tekanan itu kepada kakitangan syarikat lain, individu dan kumpulan berminat, dengan kadar bayaran mengikut jam. Secara tidak langsung, syarikat dapat menambah pendapatan sampingan.

Jangan biarkan diri menanggung terlalu banyak tekanan. Jika terlalu banyak tekanan terpendam, dikhuatiri nanti ia akan dilepaskan ke atas ahli keluarga, orang sekeliling atau makhluk Allah yang lain. Kemungkinan juga boleh berlaku perbuatan vandalisme.

Seelok-eloknya bebaskan tekanan sedikit demi sedikit dengan pelbagai cara sebelum ia menjadi sukar dikawal. Matlamatnya, supaya kakitangan akan berasa lebih tenang, lebih fokus dan dapat meningkatkan produktiviti.-UTUSAN

MARISSA QT
Kuala Lumpur

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya