SAUDARA PENGARANG,
SEMPENA pilihan raya negeri (PRN) pada 12 Ogos ini, saya menyeru pengundi memilih mengikut dasar dan watak calon, bukannya kaum atau agama. Pandanglah visi dan program ditawarkan dan undilah calon yang dapat membawa faedah kepada seluruh rakyat di negeri terbabit. Kita harus memilih wakil rakyat berlandaskan matlamat meningkatkan taraf hidup dan memberi harapan kepada semua golongan termasuk generasi akan datang.
Terdapat beberapa isu penting yang saya harap kerajaan negeri yang akan dilantik boleh beri tumpuan segera untuk meningkatkan taraf hidup rakyat. Antaranya isu ekonomi, pekerjaan, pendidikan, kesihatan dan infrastruktur. Ekonomi negeri perlu dipacu untuk menarik pelaburan dan membuka peluang pekerjaan. Kadar pengangguran terutama dalam kalangan belia perlu dikurangkan. Ini penting bagi memastikan rakyat mempunyai sumber pendapatan kukuh dan taraf hidup yang baik.
Sistem pendidikan perlu dipertingkatkan untuk melatih generasi muda menjadi modal insan berwawasan dan berdaya saing. Kualiti pengajaran dan pembelajaran perlu diutamakan supaya murid mendapat asas yang baik. Ini akan memastikan masa depan generasi muda terbela.
Kesihatan adalah hak asas setiap rakyat. Kerajaan perlu lebih melabur dalam aspek kesihatan supaya rakyat dapat menikmati akses rawatan berkualiti. Ini penting untuk memelihara taraf kesihatan rakyat.
Sementara infrastruktur seperti lebuh raya, jalan raya dan utiliti perlu diperbaiki dan diperluas untuk memudahkan urusan harian rakyat. Ini penting untuk menarik aktiviti ekonomi, terutamanya pelaburan. Saya yakin dengan perancangan dan pelaburan yang bijak, kita boleh menangani cabaran-cabaran ini untuk memberikan perubahan positif dalam taraf hidup rakyat. Saya harap kerajaan negeri yang akan dilantik dapat memfokuskan dan menyelesaikan isu-isu ini segera untuk kebaikan semua.
Dalam pada itu, saya turut ingin menekankan pentingnya perpaduan, integriti dan kerajaan yang baik dalam negara kita. Ini adalah asas untuk kestabilan dan kemakmuran.
Ia boleh dicapai sekiranya setiap rakyat dilayan dengan adil tanpa diskriminasi. Kerajaan mesti meletakkan kepentingan rakyat secara keseluruhan dan memelihara hak-hak semua warganegara.
Bahkan integriti dan ketelusan mesti diutamakan dalam pentadbiran negeri. Kerajaan dan pemimpin bertanggungjawab untuk memelihara sumber dan harta awam dengan bijak, efisien dan telus. Rasuah dan penyalahgunaan kuasa mesti dihapuskan.-UTUSAN
MOHAMMAD NOORIZZUDDIN NOOH
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)