SAUDARA PENGARANG,
BERDASARKAN kualiti pendidikan tinggi yang baik di negara ini, lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) disaran untuk menyambung pengajian di universiti tempatan.
Ini kerana pencapaian 28 universiti tempatan yang memasuki senarai penarafan Quacquarelli Symonds (QS) World University Rankings 2024 membuktikan kualiti pendidikan tinggi negara bertaraf dunia.
Jumlah itu meningkat berbanding 24 untuk 2023 dan 22 bagi 2022.
Pencapaian membanggakan itu memperlihatkan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) kini berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan universiti antarabangsa.
Justeru, diharap masyarakat terus yakin dengan IPTA kerana dalam konteks kualiti, Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) sentiasa memantau dan mengawal selia.
Persepsi universiti luar negara lebih berkualiti daripada tempatan sudah tidak relevan kerana penarafan yang dikeluarkan QS menyaksikan IPTA setara dengan penyedia pendidikan tinggi global.
Malaysia tidak menghadapi masalah mengenai reputasi pendidikan tinggi di persada global berdasarkan kesetaraan pengiktirafan diterima dalam kalangan badan akreditasi antarabangsa yang mempunyai jaringan dengan MQA.
Malaysia sering dijemput untuk berkongsi pengalaman dalam jaminan kualiti pendidikan tinggi terutama dalam konteks penawaran pendidikan fleksibel melalui pelbagai platform seperti persidangan, forum, dialog dan seminar.
Justeru, MQA akan terus menjalin kerjasama dengan IPT tidak kira awam atau swasta serta agensi lain di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi untuk mempromosikan pendidikan tinggi negara.
Malaysia menjadi antara ‘pemain utama’ dalam pembangunan Kerangka Rujukan Kelayakan ASEAN (AQRF) dan diberi mandat untuk menerajui persatuan badan jaminan kualiti dalam kalangan dunia Islam, Association of Quality Assurance Agencies of the Islamic World (IQA).
Dalam penawaran program MicroCredentials pula, Malaysia muncul antara destinasi utama dunia dan turut disebut-sebut oleh majoriti panelis dalam webinar anjuran Pertubuhan Pelajaran, Sains, dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) serta dalam kertas polisi Laluan Pembelajaran Fleksibel dalam Pendidikan Tinggi bertajuk Kursus Pendek, Micro-credentials dan Laluan Pembelajaran Fleksibel: Satu Pelan Tindakan untuk Pembangunan Dasar dan Tindakan, baru-baru ini.-UTUSAN
PROFESOR DATUK DR. MOHAMMAD SHATAR SABRAN
Ketua Pegawai Eksekutif
Agensi Kelayakan Malaysia (MQA)