Lebih adil tanpa pengkelasan B40, M40 dan T20

Lebih adil tanpa pengkelasan B40, M40 dan T20

PENDEKATAN baharu yang dicadangkan kerajaan wajar disokong kerana dapat membantu meminimumkan kesilapan berkaitan pemberian bantuan atau subsidi oleh kerajaan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SESETENGAH ahli ekonomi berpendapat, pengkelasan pendapatan berdasarkan kategori B40, M40 dan T20 adalah kurang wajar kerana kaedah ini bersandarkan jumlah pendapatan isi rumah secara kasar semata- mata tanpa melihat komitmen ditanggung.

Dalam menilai garis kemiskinan, pelbagai faktor seharusnya diambil kira termasuk saiz keluarga dan kuasa beli sesebuah isi rumah.

Baru-baru ini, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli mengumumkan bermula 2024 kerajaan bercadang menghapuskan pengkelasan pendapatan dan beralih mengikut pendapatan bersih boleh guna.

Menurut beliau, pendapatan boleh guna atau turut dikenali sebagai pendapatan selepas ditolak cukai dapat memberi gambaran lebih baik dalam mengukur kemampuan kewangan sesebuah isi rumah untuk berbelanja, menyimpan dan membuat pelaburan.

Namun begitu, pengkelasan berdasarkan pendapatan kasar mahupun pendapatan boleh guna mempunyai kelebihan dan kekurangan tersendiri. Contohnya, pengkelasan melalui pendapatan kasar dilihat lebih mudah untuk dikira kerana ia mewakili jumlah pendapatan diperoleh isi rumah sebelum sebarang potongan dibuat.

Selain itu, pengkelasan ini juga dapat mengukur keupayaan isi rumah dalam menjana pendapatan. Maklumat ini diperlukan sebagai tanda aras kepada prospek kerjaya serta peluang pekerjaan di sesebuah negara.

Malah turut berperanan dalam penetapan dasar cukai negara selain menjadi ukuran asas kepada petunjuk makroekonomi seperti Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Oleh itu, pengkelasan berdasarkan pendapatan boleh guna yang dicadangkan kerajaan dilihat mampu menjadi kayu ukur lebih realistik tentang kuasa beli sesebuah isi rumah. Contohnya, seorang bapa di Kuala Lumpur yang mempunyai 10 orang anak mungkin dikategorikan sebagai T20 berdasarkan pendapatan kasarnya.

Namun, status bapa yang mempunyai komitmen keluarga sangat tinggi ini boleh berubah kepada kategori B40 berdasarkan pengkelasan melalui pendapatan boleh guna.

Walaupun pengkelasan melalui pendapatan boleh guna dilihat lebih kompleks dan sukar, pengkelasan ini dilihat mampu memberi perspektif yang lebih komprehensif dan tepat tentang situasi kewangan serta kuasa beli sesebuah isi rumah.

Justeru, pelbagai faktor termasuk saiz keluarga, kos sara hidup serta kuasa beli perlu dipertimbangkan dalam menilai garis kemiskinan sesebuah isi rumah itu. Ini kerana tidak semestinya kuasa beli mereka yang berpendapatan tinggi adalah tinggi.

Pendekatan baharu yang dicadangkan kerajaan wajar disokong kerana dapat membantu meminimumkan kesilapan berkaitan pemberian bantuan atau subsidi oleh kerajaan.-UTUSAN

PROF. MADYA DR. MOHD. EDIL ABD. SUKOR
Universiti Malaya

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya