Lebih adil jika lesen penjaja dikeluar PBT dimansuhkan - Utusan Malaysia

Lebih adil jika lesen penjaja dikeluar PBT dimansuhkan

PENGHAPUSAN lesen penjaja dapat mengekang amalan nepotisme dan rasuah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

RANCANGAN untuk menaik taraf infrastruktur penjaja di sekitar Kuala Lumpur amat dialu-alukan tetapi dalam masa sama jangan abaikan kemudahan bagi penjaja di kawasan majlis daerah lain di seluruh negara.

Penekanan juga perlu diberikan dari aspek penguatkuasaan memandangkan terdapat kes lesen atau premis penjaja yang disediakan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) disewakan kepada penjaja lain pada kadar yang lebih tinggi.

Keadaan sewa berlapis ini amat membebankan mereka yang benar-benar berniat untuk berniaga demi kelangsungan hidup sehinggakan ada dalam kalangan penduduk tempatan tidak lagi sanggup mengambilnya kerana kadar sewa yang dikenakan terlalu tinggi. Keadaan ini menarik minat warga asing untuk mengambil alih operasi.

Justeru, selari dengan konsep Malaysia Madani sekarang, lesen penjaja patut dimansuhkan kerana ia ketinggalan zaman dan boleh menyebabkan berlaku amalan nepotisme dan rasuah.

Lesen hendaklah terbuka bagi sesiapa sahaja yang hendak mengambilnya. Premis hendaklah disediakan sebanyak mungkin, cukup untuk membuka peluang kepada sesiapa sahaja yang ingin memulakan perniagaan atau bagi mereka yang mahu menyambung perniagaan demi untuk mengekang gejala sewa atas sewa.

Fenomena sewa atas sewa yang berlaku atas lesen atau premis adalah sangat tidak produktif, merupakan kos tambahan yang tidak perlu, menekan pengusaha dan akhirnya pengguna juga yang menerima padah apabila mendapat produk atau makanan tidak berkualiti.

Pemerkasaan penjaja dengan menyediakan persekitaran yang baik, persaingan yang sihat tanpa sebarang masalah dan tekanan dapat menghasilkan produk makanan berkualiti kepada orang awam khususnya yang berpendapatan rendah serta sederhana pada harga berpatutan.

Pegawai PBT juga hendaklah mesra penjaja dan memastikan peniaga bebas dari masalah dan tekanan. Tangani juga isu penjaja mengambil untung keterlaluan denngan menghasilkan produk atau makanan yang tidak berkualiti yang dijual pada harga mahal. Dalam kes ini, pegawai PBT hendaklah membuat pemantauan agar penjaja berniaga dengan sebaik-baiknya. – UTUSAN

MOHAMED YUSOFF YAHYA, Batu Gajah, Perak

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya