SAUDARA PENGARANG,
PILIHAN raya negeri (PRN) baru-baru ini mencatatkan keputusan mengejutkan apabila UMNO Terengganu kalah di semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN). Kekalahan paling teruk berbanding Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sebelum ini.
Pengundi Terengganu juga didapati semakin celik berpolitik apabila mencatat peratusan tertinggi iaitu 74.79 peratus melebihi purata 70 peratus keluar mengundi berbanding lima negeri lain.
Di sebalik angka tersebut, kekalahan teruk sehingga tiada satu pun kerusi dimenangi oleh UMNO cukup memalukan dan benar-benar mengejutkan. Sebagai anak jati Terengganu, saya sendiri tidak menjangkakan keputusan seteruk tersebut.
Keputusan itu menyebabkan UMNO Terengganu lumpuh. Bayangkan dua bekas Menteri Besar turut terkubur di kerusi yang selama ini dianggap kerusi selamat.
Sekiranya diukur, UMNO Kelantan mencatat keputusan lebih positif apabila memenangi kerusi DUN Galas meskipun terkesan apabila bekas Setiausaha Agung parti itu, Tan Sri Annuar Musa berkempen di atas pentas Pas.
Tambahan pula, Pas telah lama bertapak dan memerintah Kelantan iaitu semenjak 1990.
Tidak mustahil kekalahan UMNO di Terengganu adalah simptom awal Pas akan terus memerintah negeri itu dalam tempoh lama sebagaimana yang berlaku di Kelantan.
Kekalahan UMNO seolah-olah memberi gambaran bahawa parti itu bukan lagi pilihan orang Melayu meskipun bertanding di kawasan majoriti kaum itu.
Barangkali UMNO perlu kembali ke akar umbi, mendengar keluh-kesah ahli bawahan yang ikhlas dan sayangkan parti itu, memandangkan untuk menang pilihan raya akan ditentukan oleh suara majoriti orang Melayu yang terdiri dalam kalangan abang, kakak, pak cik dan mak cik di kampung-kampung.
Dalam pada itu, jika diimbau sejarah, banyak bekas Presiden UMNO meletak jawatan apabila keadaan memerlukan mereka berbuat demikian.
Dalam tempoh kritikal ini, UMNO perlu bermuhasabah dan berhati-hati membuat keputusan yang mana silap percaturan menyebabkan parti tersebut semakin hilang dari radar arus politik perdana.
Tambahan pula, lambakan parti politik menyebabkan pengundi semakin selektif dan membuat perbandingan prestasi parti politik serta apa yang ditawarkan demi kelangsungan hidup generasi akan datang.
Harus diingat, rakyat tidak selesa apabila pemimpin menabur janji menjelang pilihan raya, kerana sepatutnya pemimpin membuat kerja yang diamanahkan tanpa perlu mempromosikan 1,001 janji bulan dan bintang.
Berbanding sebelum era teknologi maklumat, UMNO dan parti-parti lain kena terima hakikat rakyat Malaysia semakin celik politik. Pandangan jujur Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim baru-baru ini patut direnung apabila menyatakan ketidakadilan Kerajaan Pusat terhadap negeri Perlis, Kelantan, Terengganu dan Kedah sejak sekian lama telah mempengaruhi mood pengundi.
Jelasnya, sentimen dan kebencian terhadap Kerajaan Pusat semakin menebal apabila empat negeri tersebut yang dihuni majoriti Melayu masih dibelenggu kadar kemiskinan tertinggi.-UTUSAN
TENGKU SUDIN
Seberang Perai, Pulau Pinang