SAUDARA PENGARANG,
TIDAK lama lagi kita akan menyambut Hari Kemerdekaan ke-66 dan paling lebih bermakna selepas berakhirnya pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri.
Negara kita telah mencapai kemerdekaan puluhan tahun tetapi pemimpin serta ahli politik terutama dari parti pembangkang tetap kata bangsa Melayu sudah tenat dan agama Islam semakin terancam.
Hakikatnya, orang politik yang membuatkan penyokong bergaduh.
Justeru, pemimpin parti pembangkang diseru turut menerima semangat perpaduan seiring tema sambutan Hari Kebangsaan, Tekad Perpaduan Penuhi Harapan dengan maksud lain bagi mendasari tekad serta komitmen pemimpin bersama rakyat sebagai sebuah bangsa yang memiliki semangat perpaduan tinggi, bersatu padu serta kehidupan aman dan sejahtera.
Timbul tanda tanya lain, apakah ketegasan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memacu ekonomi negara ke arah membendung amalan rasuah dianggap hanya retorik politik? Ini kerana anak-anak muda yang juga pengundi 18 tahun sudah berani ‘membaham’ Perdana Malaysia dengan kata-kata menyindir. Di mana maruah Perdana Menteri jika anak muda sudah berani berkelakuan biadab?
Oleh itu, kaedah diplomasi yang dilakukan oleh Anwar selama ini harus diubah kepada tidak melayan secara budiman.
Justeru, mereka yang di luar sana berhentilah berpolitik di bawah tempurung. Tiada peta jalan untuk menang dan tiada gunanya bertarung dengan kekalahan.
Orang Melayu usah lagi bernostalgia dengan menganggap ketuanan Melayu adalah hak mereka yang berkuasa secara dominan dalam politik negara. Konsep ketuanan Melayu sudah dianggap lapuk dan ketinggalan zaman.
Orang Melayu juga usah lekas terpengaruh dengan simbiosis Pas-Islam, Islam-Pas atau Melayu Islam mahupun Islam Melayu kerana itu semua slogan bermotifkan gimik politik semata-mata untuk meraih pengaruh sokongan.-UTUSAN
MUZAKKIR HARON
Pulau Pinang