SAUDARA PENGARANG,
SEBAGAI salah seorang peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), izinkan saya menyentuh sedikit isu panas berkaitan pelupusan hutan peneroka Felda yang hangat diperkatakan sejak kebelakangan ini.
Untuk maklumat, bukan semua peneroka yang seramai 112,638 orang terlibat berhutang dengan Felda. Berdasarkan berita yang dibaca, sekitar 90,000 peneroka sahaja yang berhutang.
Justeru, saya mengharapkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengerusi Felda baharu, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek menyelami hati kecil sebahagian dari kami yang tidak terlibat dengan Hutang Pembangunan Ladang.
Dalam isu ini, kami menguruskan ladang dengan cara sendiri kerana takut untuk membuat hutang. Kerana itu, semua kami usahakan sendiri atau lebih tepat berdikari.
Sepatutnya kerajaan menghargai usaha kami yang sanggup berdikari. Kami wajar diberikan imbuhan galakan atau sagu hati. Sepanjang lebih 20 tahun kami menguruskan ladang, tidak pula kami menyusahkan mana-mana pegawai Felda, malah hasil ladang dijual di kilang-kilang Felda.
Jika peneroka yang berhutang sebanyak RM8.3 bilion dapat dilupuskan kerajaan, sepatutnya peneroka yang tidak membebankan agensi itu juga wajar diberi sagu hati. Melalui peruntukan sagu hati ini, barulah kerajaan dilihat adil terhadap semua peneroka Felda.
Sebelum ini, kerajaan meluluskan jaminan sehingga RM9.9 bilion untuk Felda menerbitkan sukuk bagi menyempurnakan pelaksanaan pelupusan hutang peneroka.
Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan pula menyatakan bermula tahun ini, kerajaan menyalurkan peruntukan sehingga RM1 bilion setahun bagi membolehkan penebusan semula sukuk Felda bagi membiayai hapus kira hutang peneroka. – UTUSAN
POPYEYEH, Peneroka sawit